Dr. M, 4 MP mohon mencelah saman isu Agong tidak perkenan darurat
LIMA bekas ahli Parlimen Bersatu termasuk Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat permohonan untuk mencelah dalam saman berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang menolak untuk mengisytiharkan darurat.
Turut megemukakan permohonan adalah Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah, Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh, dan senator Marzuki Yahya.
Menurut Malaysiakini, kesemua mereka mengemukakan permohonan melalui firma guaman Tetuan Undang-Undang Rafique pada 12 Januari lalu.
Pada 30 Oktober lalu seorang peguam Syed Iskandar Syed Jaafar mengemukakan saman berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.
Melalui saman pemula itu, plaintif antara lain menuntut untuk menentukan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.
Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.
Plaintif turut menuntut relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah tanpa sebarang perintah kos.
Al-Sultan Abdullah menolak perisytiharan darurat pada 25 Oktober tahun lalu dan memaklumkan tiada keperluan buat masa itu untuk mengisytiharkan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman COVID-19.
Baginda pada waktu itu berpendapat kerajaan berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.
Permohonan mencelah yang dikemukan oleh Dr. Mahathir dan empat pemimpin bekas Bersatu yang lain pada 12 Januari lalu adalah tarikh yang sama Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.