Dr. Air penapis air perigi 3 peringkat ciptaan penyelidik UTHM
MALAYSIA sememangnya kaya dengan air berikutan jumlah hujan yang diterimanya setiap tahun amat banyak namun di beberapa negeri bekalan air sentiasa menjadi isu.
Banyak kawasan terutama di pedalaman masih bergantung kepada sumber air bawah tanah. Melalui teknologi yang semakin canggih bukan satu masalah lagi untuk mengepam air bawah tanah atau air perigi untuk digunakan.
Pun begitu masalah utama air bawah tanah ialah ia berkeladak, mempunyai bahan logam berat yang tinggi serta berbau dan berwarna.
Masalah itu kini boleh ditangani melalui alat penapis air tiga peringkat ciptaan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dinamakan sebagai Dr. Air, sistem penapisan itu kini dipasarkan secara komersial melalui syarikat Ittihad Machinery Sdn.Bhd.
Menurut pemilik syarikat, Mohamad Erwan Zaki Mat Radzi, 31, Dr. Air dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari UTHM termasuk dirinya.
Pelajar peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kajian Penapisan Air Bawah Tanah UTHM itu berkata, Dr. Air mengambil masa selama setahun untuk dibangunkan dan material yang digunakan adalah bahan tempatan.
“Kita memang mereka 3 set sebab air ini dia ada penyakit. Macam kitalah. Bila ada penyakit kita tak terus makan ubat satu jenis, ada ubat yang pertama, ubat yang kedua, ubat yang ketiga,” katanya.
Set pertama adalah bagi menapis enapan terampai, keladak ataupun benda-benda yang terapung.
Kemudian, set kedua khusus menapis logam-logam berat yang tidak selamat untuk digunakan oleh manusia.
“Contohnya besi. Kalau kita tengok di Kelantan airnya berwarna kuning, tersangat kuning disebabkan besi. Kemudian dia ada masalah dari segi magnesium dan amnonia.
“Selain itu arsenik yang bahaya untuk diminum. Apa yang perlu kita buat adalah kita kena buang benda tersebut dengan kaedah oksida,” katanya.
Set ketiga pula adalah alat penapis yang khusus untuk menghilangkan bau, rasa dan warna.
Jelas beliau, apa yang istimewa mengenai Dr. Air berbanding dengan alat penapis air yang lain yang berada di pasaran ialah fungsi automatik untuk membuang kotoran yang ditapis.
Pada setiap set terdapat peralatan elektronik yang boleh ditetapkan oleh pengguna untuk membuang semua bahan cemar yang telah ditapis.
“Masalah utama alat penapis adalah kegagalan pengguna untuk back wash atau untuk buang balik kotoran yang telah ditapis. Oleh sebab itu dia akan menyebabkan penapis tidak dapat bertahan lama.
“Bila ditapis, keledak-keledak yang ada perlu dibuang. Ini yang dinamakan sebagai back wash. Di mana kita balikkan proses air masuk dari bawah, keluar di atas dan tidak pergi ke penapis yang seterusnya sebaliknya keladak yang ada akan dibuang dulu.
“Kita setkan alam ini seperti melaraskan jam elektronik. Pukul berapa kita nak back wash dia, berapa kali kita nak back wash dia, sehari dua kali, sehari tiga kali, dua hari sekali, tiga hari sekali,” terang beliau yang menyimpan rahsia bahan yang digunakan sebagai alat penapis.
Dr. Air didatangkan dengan dua saiz iaitu saiz besar yang berkemampuan menapis air 2,000 ke 3,000 liter sejam berharga RM7,000 dan model kecil yang mampu menapis air 1,500 liter ke 2,000 liter sejam berharga RM3,000.
Bagi menampung keperluan satu kampung Dr. Air turut memperkenalkan PureContent iaitu peralatan penapis air yang dipasangan dalam sebuah kontena berharga RM80,000. Ketika ini PureContent telah dan sedang dipasang di tiga kawasan di Kelantan dan satu di Pahang.
Kedai jualan dan pameran Dr. Air di Jalan Parit Raja, Johor telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM Datuk Seri Ibrahim Ahmad baru-baru ini.
Turut hadir Naib Canselor UTHM Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Pengarah Urusan Gading Kencana Datuk Ir. (Dr.) Guntor Tobeng sebagai penasihat industri.
Untuk pertanyaan boleh hubungi Mohamad Erwan Zaki di 01156246127.-SM