Nasional

DPMM cadang semua kilang dikenakan PKPD sepanjang PKP 3.0

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan agar semua pekerja asing yang digajikan atau diambil bekerja diletakkan di dalam hotel-hotel bajet atau asrama pekerja selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, tindakan itu perlu kerana statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan 48 peratus kes penularan COVID-19 adalah berpunca daripada sektor perkilangan.

“Berdasarkan kepada data yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan berkaitan dengan penularan wabak serta kluster maka DPMM mengesyorkan beberapa Tindakan Berani yang perlu dilakukan oleh Kerajaan pada masa ini.

“PKPD bersasar ke atas kilang-kilang yang menjadi pemangkin atau punca penularan Covid-19 bermula 17 Mei 2021 hingga 17 Jun 2021,” kata DPMM dalam satu kenyataan.

Segala kos penginapan perlu ditanggung oleh majikan terbabit.

“Kerajaan tidak seharusnya berkompromi terhadap pemilik kilang kerana kegagalan majikan terbabit telah mengakibatkan implikasi yang amat serius yang ditanggung oleh rakyat Malaysia yang lain.

“Sekiranya mana-mana majikan yang membuat kesalahan berulang, maka tempoh penutupan akan dilakukan sekali lagi.

“Manakala tindakan tegas termasuk denda ke atas kesalahan pelanggaran SOP terhadap majikan kilang berkenaan perlu dikenakan tanpa kompromi demi memastikan kemaslahatan awam dapat dijaga,” katanya.

DPMM turut mencadangkan agar masa kerja anjal diperkenalkan berdasarkan kepada kejayaan pelaksanaannya di Jepun, Korea serta China dan Singapura.

“Sebagai contohnya pergerakan masuk/pulang kerja boleh ditetapkan dari pukul 7:30 – 8:30, 9:00 – 10:00, 10:30-11:30, waktu pulang jam: 16:00 – 17:00, 17:30 -19:30, 20:00 – 21:00.

“Ini terpakai kepada semua tempat kerja atau tempat berniaga. Ini akan dapat mengelakkan orang berpusu-pusu di tempat awam.

“Operasi berniaga pula dibenarkan bermula pukul 4 pagi hingga 11:00 pagi atau jam 12 tengah hari hingga 11.30 malam,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button