Donald Trump tweet dalam Jawi, bawa agenda Islamisasi
PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump turut terjebak dalam isu tulisan Jawi apabila melakukan ciapan di Twitterrnya dalam tulisan warisan Melayu itu sebentar tadi.
Ciapan tersebut mencetuskan tanda tanya adakah Trump juga menyokong pelaksanaan Jawi di sekolah jenis kebangsaan yang ditolak oleh segelintir rakyat Malaysia.
Ayman Rashdan Wong yang berkongsi tangkap layar ciapan Trump itu turut melontarkan persoalan sama ada pemimpin nombor satu Amerika itu mahu membawa agenda Arabisasi dan Islamisasi.
“Habislah, Donald Trump pun terjebak dengan Jawi. Kau orang punya pasallah tak move on-move on lagi isu Jawi, sampai Trump sekarang pun nak bawa agenda Islamisasi dan Arabisasi. Allahu,” kata Ayman Rashdan secara bergurau di Facebooknya.
Tulisan seolah-olah huruf Arab dan Jawi yang digunakan Trump itu, menurut Ayman Rashdan sebenarnya adalah tulisan dan bahasa Parsi.
Dan ciapan itu merupakan kata-kata sokongan Trump kepada rakyat Iran yang sedang melakukan protes terhadap pemimpin tertinggi Iran yang mendesak supaya Ayatollah Khamenei meletakkan jawatan atas kesilapan menembak pesawat Ukraine Airlines baru-baru ini
“Tulisan ini dipanggil tulisan Parsi, bukan tulisan Arab, walaupun ia berasal dari tulisan Arab. Ia dah diubahsuai ikut struktur bahasa Parsi. Dah hampir 1,300 tahun orang Parsi atau Iran pakai tulisan ini.
“Jangan panggil ni tulisan Arab depan orang Iran, kang tak pasal-pasal kena maki,” kata Ayman Rashdan.
Terjemahan ciapan Trump itu berbunyi, “Kepada orang Iran yang berani dan menderita, saya telah berdiri bersama kalian sejak permulaan kepresidenan saya, dan kerajaan saya akan terus berdiri bersama kalian. Kami mengikuti rapat protes kalian. Keberanian kalian sangat mengilhamkan.”
Menurut Ayman Rashdan, beberapa kosa kata seperti “الهام” (ilham), “دولت” (kerajaan), “ریاست” (kepresidenan), “شجاع” (berani) merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab.
Namun banyak juga kosa kata bahasa Parsi sememangnya perkataan asli, seperti “مردم” (orang), “رنج” (derita), “شما” (kamu/kalian). Kalau “رنج” tulis dalam tulisan Devanagari (tulisan bagi Hindi) akan jadi “रंज”. Bahasa Hindi pun banyak dipengaruhi Parsi dan Arab.
Bagaimanapun Ayman Rashdan secara sinis mengajak rakyat di seluruh dunia mengecam Trump kerana merosakkan kedamaian dunia kerana menggunakan tulisan berunsur agama.
“Apa pun marilah kita kecam Trump kerana merosakkan perpaduan dunia dengan tulisan berunsur agama dan membebankan media antarabangsa yang tak faham tulisan tersebut. Bantah bantah.
“Nota kaki: Tweet Trump ini ialah tweet bahasa Parsi yang paling banyak dapat like dalam sejarah. Kalah Ayatollah,” kata Ayman Rashdan.
Dalam pada itu, Ayman Rashdan berpendapat protes segelintir rakyat Iran itu tidak akan menjatuhkan Khamenei.
Trump pula menurut beliau, sebenarnya tidak langsung berminat untuk melihat perubahan kepimpinan di Iran tetapi hanya mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut.
“Meanwhile aku tak rasa protes kali ini akan menjatuhkan Khamenei atau kerajaan Iran. Trump saja sakat je, macam dia ambil kesempatan isu Hong Kong dan Uyghur.
“Trump tak minat perubahan regim. Dia tekan China punya tekan, last-last dapat trade deal (akan sign minggu depan) juga. So dia nak copy strategi yang sama ke atas Iran.-SM