Dokumentari Kanzun tonjolkan tokoh ulama wanita tempatan
BILA kita bercakap mengenai para ulama, pasti yang terlintas di kepala ialah tokoh-tokoh ulama lelaki sahaja.
Sedangkan sebenarnya ulama juga terdiri daripada golongan wanita namun tidak diketengahkan seperti ulama lelaki.
Perkara itu yang membuatkan Kembara Sufi Production muncul dengan idea untuk menyelami pengalaman dan fungsi ulama hawa dalam penyebaran Islam.
Penerbit, Jaja Ishak berkata, kesemua kisah ulama wanita ini akan dimuatkan dalam sebuah dokumentari bersiri yang diberi judul Kanzun.
“Pada mulanya memang kami hendak tampilkan ulama-ulama wanita di seluruh dunia tetapi disebabkan Covid-19, perkara itu terhalang.
“Jadi kami ubah dan beri tumpuan khusus kepada ulama wanita tempatan di dalam negara sahaja,” katanya yang menggunakan geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menerbitkan dokumentari tersebut.
BACA> Pusat tahfiz dirobohkan bukan sebab politik – Aaron Aziz
Menurut Jaja, sebanyak 13 orang ulama wanita akan ditampilkan dalam dokumentari tersebut dan untuk mengumpulkan kesemuanya memerlukan kajian yang sangat tinggi.
Jelasnya, bukan mudah untuk mengesan kesemua ulama wanita ini apatah lagi ada yang sudah meninggal dunia.
“Lokasi mereka juga ada yang sudah lama ditinggalkan dan kru produksi juga menghadapi kesukaran untuk masuk ke tempat tersebut.
BACA> Zahirah Macwilson umum kehamilan, rakan artis ucap tahniah
“Kita dah lihat lokasi dan lakukan kajian menyeluruh bersama dengan beberapa agensi yang lain untuk rujukan,” ujarnya.
Jelasnya, dokumentari Kanzun akan ditayangkan pada tahun hadapan sebanyak 13 episod selama 30 minit (setiap episod) di saluran RTM. -SM