Doktor maut kereta bertembung lori
Seorang doktor yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Krubong, Melaka di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi, mangsa, Sandeep Singh Panthlia, 41, dari Klebang Besar meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta jenis Naza Forte dipandu mangsa dari arah Alor Gajah ke Klebang Besar secara tiba-tiba dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Ketika itu sebuah lori jenis Isuzu Commando dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah Bukit Rambai tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori pula cedera di kepala, tangan dan hidung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
Polis turut meminta saksi bebas yang terlihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM