DItuntut bayar hutang RM77,000, Aisyah Retno harap keadilan ditegakkan
PENYANYI Aisha Retno kini menjadi tumpuan selepas dituntut melunaskan hutang sebanyak RM77,000 oleh penganjur konsert Kharisma Music International. Isu ini timbul susulan kegagalan jualan tiket konsert Malam Samudera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November lalu, tetapi terpaksa dibatalkan.
Dalam satu kenyataan di Instagram Story, Aisha, atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, menyatakan bahawa dia kini ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya serta pelancaran lagu-lagu baharunya yang dijadualkan pada Disember ini.
“Bangun hari ini, saya menerima banyak mesej daripada peguam yang menawarkan bantuan guaman secara sukarela untuk membantu saya menyelesaikan isu ini. MasyaAllah, terima kasih atas keprihatinan kalian. Saya mohon maaf kerana tidak dapat membalas setiap mesej. Fokus saya kini adalah pada kerjaya dan persiapan lagu baru,” tulis penyanyi lagu Sutera itu.
Kontroversi Dana AJL
Yuka Kharisma, wakil dari Kharisma Music International, mendakwa telah meminjamkan wang sebanyak RM83,000 kepada Aisha bagi membantu persiapannya untuk persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Mac lalu. Menurut Yuka, hanya RM6,000 telah dibayar setakat ini, dengan baki RM77,000 masih belum dilunaskan.
“Kami membantu kerana hubungan baik yang terjalin antara pihak kami dengan Aisha. Namun, ia adalah pinjaman, bukan tajaan. Kami juga tidak pernah menjanjikan sokongan kewangan sepenuhnya. Segala bukti berkaitan mesej dan perjanjian sudah kami simpan,” jelas Yuka.
Beliau turut memaklumkan bahawa konsert Malam Samudera sepatutnya menjadi platform untuk Aisha melunaskan hutang tersebut. Namun, dengan hanya 98 tiket yang berjaya dijual, konsert itu terpaksa dibatalkan atas sebab kerugian.
Aisha Luah Kekesalan
Aisha sebelum ini meluahkan rasa kecewa apabila penganjur membuat keputusan membatalkan konsert tanpa sebarang perbincangan dengannya terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, Aisha berharap agar kebenaran akan terserlah kelak.
“Lebih banyak bukti akan didedahkan supaya keadilan dapat ditegakkan, in shaa Allah. Saya doakan yang terbaik untuk semua pihak, dan saya juga memaafkan, namun selebihnya biarlah Allah dan masyarakat yang menilai,” tambahnya.
Isu ini mendapat perhatian ramai, termasuk peminat dan pihak industri, yang turut meluahkan sokongan kepada Aisha. Namun, persoalan mengenai baki hutang RM77,000 itu masih belum terjawab, dan masa depan kerjaya penyanyi ini menjadi perhatian utama peminatnya.
Apakah Aisha mampu bangkit daripada kontroversi ini dan kembali fokus pada kerjayanya? Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya.