Dituduh bertugas tak pakai pelitup muka, anggota polis buat laporan
SEORANG anggota polis trafik membuat laporan polis selepas dituduh tidak memakai pelitup muka ketika bertugas.
Malah, gambar anggota polis itu yang diambil ketika sedang bertugas mengawal lalu lintas turut ditularkan di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, anggota terbabit sedang mengawal lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Tunku Abdul Rahman 7 iaitu di kawasan pasar malam bermula pukul 1 petang hingga 10 malam.
“Dia dikatakan baru selesai berbuka puasa bersama lima rakan sekerja lain di bawah sebuah khemah di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Esfahan berdekatan sebuah pusat membeli belah sekitar pukul 8 malam.
“Selesai berbuka puasa, anggota berkenaan menuju ke motosikal untuk meneruskan tugasannya dan gambar terbabit disyaki diambil sebelum dia memakai semula pelitup muka serta topi keledar untuk meneruskan rondaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota berkenaan kerana cuba menjatuhkan maruahnya dan polis.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung perkara itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran. -SM