Pendidikan

Disiplin elemen penting elak pelajar terjebak perkara negatif – Pemangku Raja Perlis

ARAU 7 Sept. – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Disiplin diri merupakan elemen yang sangat penting bagi setiap pelajar dalam mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang perkara negatif termasuklah mengawal tindakan, perasaan dan emosi secara sedar dan konsisten berdasarkan panduan atau peraturan’.

Baginda bertitah, penerapan nilai-nilai murni mampu melahirkan masyarakat yang saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ini amat penting bagi mewujudkan masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni dan sejahtera.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Arau.

Baginda turut diiringi sama oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada asnaf-asnaf yang terpilih pada edisi kali ini.

Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada Mohamam Zahir Ali, 43 tahun daripada Kampung Bakong, Mohamad Zulkifli Ismail, 31 tahun daripada Kampung Kebun dan Suriya Hashim, 58 tahun daripada Kampung Batas Liku.

Setiap mereka menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM 700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.

Kayuhan amal pada kali ini turut dianjurkan sempena Karnival Kebudayaan Islam dan Perasmian Surau Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah yang diserikan lagi dengan Pamerah Reruai Agensi-Agensi-agensi dan lawatan ke Bilik Nadi Juara serta Galeri Sejarah sekolah berkenaan.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut meluangkan masa mengadakan lawatan ke Bengkel Mokla Herbs Arau yang mengusahakan pembuatan gelang, tongkat, cincin dan tasbih berteraskan kayu serta pemprosesan herba dan akar kayu yang diproses untuk dijadikan ubat dan rawatan kepada pelbagai jenis penyakit sebagai sokongan kepada produk-produk sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button