Sejak kembali ke politik tahun lalu, Anwar Ibrahim mempunya tabiat aneh iaitu gemar menyiarkan gambar di media sosial pertemuannya dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, bekas musuh yang kini beliau berharap akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dengan segera.
Untuk sebahagian besar, pengulas melihat isyarat sebagai satu cara untuk ahli politik berusia 70 tahun untuk menunjukkan penyokongnya bahawa perjanjian antara kedua-dua mereka masih seperti dirancang.
Selepas menggerakkan serangan di alam maya ekoran kekalahan yang teruk pada pilihan raya kecil di Tanjung Piai, Anwar menyiarkan gambar dia bersama Mahathir tersenyum .
Ia adalah satu mesej yang jelas kepada negara: tidak perlu risau, sekurang-kurangnya pada masa sekarang, episod 1998 yang menyaksikan Anwar merengkuk di penjara selama dua dekad tidak akan berulang.
Ada yang mengulas hendak tahu mereka baik atau tidak tengoklah nanti bila Anwar menjadi Perdana Menteri, atau Anwar terus tidak menjadi perdana menteri.
Ramai yang khuatir pertembungan kedua-dua pemimpin ini untuk kali kedua nanti berada pada tahap yang lebih buruk di sebalik senyuman yang terpapar.
Kekalahan di Tanjung Piai cuba diguna untuk menekan Mahathir, tetapi sebagai ahli politik veteran Mahathir seolah-olah tidak terkesan dan Mahathir membalas dengan membuat hantaran gambar beliau bersiar-siar bersama dengan isterinya Siti Hasmah Ali.
Mahathir juga jarang diserang berkaitan isu peningkatan ketegangan kaum, kenaikan kos sara hidup, dan pembaharuan yang lebih perlahan daripada jangkaan, kerana akan sentiasa ada menteri Kabinet yang tampil membuat kenyataan aneh seperti seorang exco Melaka yang begitu bangga keberhasilannya memburu babi.
Dengan tidak semena-semena Hishammuddin Hussein dan gerombolan pula masuk ke dalam perangkap yang dipasang apabila mereka bertemu dengan Azmin Ali sejurus kemenangan di Tanjung Piai, yang hampir menjejaskan keyakinan para pemimpin Muafakat Nasional yang jelas menyumbang kepada kejayaan besar pada pilihan raya kecil itu.
Bila bertiup angin Azmin Ali bakal dipilih menggantikan tempat Anwar, maka ramailah yang mahu melihatkan diri mereka mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin itu dan sejak kebelakangan ini sangat tidak baik hubungannya dengan Anwar.
Sebelum itu Hisham dikatakan orang pilihan Mahathir, maka ramailah yang condong ke arah Ahli Parlimen Semberong itu.
Itu belum lagi pemimpin yang sibuk mengkayakan diri dan kroni kerana tidak yakin kerajaan ini akan dapat bertahan hingga penggal seterusnya.
Almaklumlah puluhan tahun terpaksa berpura-pura zuhud dan kini peluang terhidang di depan mata. Mereka bukan berminat untuk belajar dengan Mahathir yang satu-satunya pemimpin dalam PH yang mempunyai pengalaman mentadbir negara.
Pembangkang pula melancarkan serangan dengan begitu sistematik kerana pengalaman mereka selama ini menjadi kerajaan menyebabkan kerajaan kelihatan seperti badut yang serba tidak kena.
Lagi kuat mereka teriak kerajaan sepenggal, lagi gelojohlah pihak lawan mereka mengaut segala laba yang ada dengan apa juga kaedah walaupun tidak ubah seperti rompakan di siang hari dan melanggar segala prinsip perjuangan yang dijunjung oleh para penyokong mereka.