fbpx
Politik

Kit Siang terpaksa ‘menari’ ikut rentak BN

LIM KIT SIANG antara nama yang tidak asing dalam politik tanah air. Tidak keterlaluan dikatakan beliau seorang ahli politik yang ‘hebat’.

Percaturannya nampak tersusun. Namun, kekalahan demi kekalahan PH dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan kebelakangan ini memerlukan beliau untuk mengubah strateginya.

Mengenali ahli politik veteran ini, itulah kebijaksanaan yang ada pada beliau.

Atas kebijaksanaan dimiliki itu, Kit Siang mampu terus ‘berdiri’ di atas pentas politik tanah air.

Sebagai rekod, nama Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang telah berusia 78 tahun ini, mula dikenali selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969.


Melihat ke belakang, Penasihat DAP ini sentiasa akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya walaupun ada kalanya tindakan itu dilihat seolah-olah membelakangi prinsip DAP.

Paling jelas adalah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, apabila beliau memilih untuk  bersama-sama Bersatu, PKR dan Amanah bagi membentuk gabungan dikenali sebagai PH.

Ini kerana matlamatnya adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Lebih lima dekad usaha DAP berjuang bersendirian gagal membuahkan hasil, mereka sedar bahawa hanya ‘bersama’ parti-parti lain sahaja mampu mengubah kedudukan itu.

Walaupun hakikatnya hubungan Kit Siang dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak pernah menampakkan ‘kemesraan’, namun demi matlamat parti yang diterajuinya, beliau rela meletakkan ke tepi  keegoan dan bekerjasama

RETAK MENANTI BELAH

Dalam kehidupan manusia, hubungan yang dibina tanpa ‘keikhlasan’ sering kali akan menimbulkan masalah pada kemudian hari.

Begitu juga yang berlaku antara parti-parti gabungan PH terutama Bersatu dan DAP.

Hari ini, hubungan tersebut umpama ‘retak menanti belah’. Pun begitu, bezanya adalah dahulu DAP hanyalah pembangkang tetapi sekarang, mereka juga pembuat keputusan.

Malah kedudukan anaknya, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan ramai lagi pemimpin DAP lain dalam Kabinet memungkinkan mereka berani untuk bertindak kembali ke landasan asal perjuangan parti.

Justeru, dapat dilihat ada beberapa pimpinan DAP secara terang-terangan tidak lagi ‘memerlukan’ khidmat Dr. Mahathir dan dengan lantang meminta beliau melepaskan jawatannya.

Ini umpama bidalan ‘habis madu sepah dibuang’.

Pun begitu, tidak mudah menyingkirkan Dr. Mahathir. Jika ada yang beranggapan kritikan-kritikan dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Langkawi itu akan mengubah keadaan, mereka sebenarnya hanyalah ‘bermimpi di siang hari’.

Justeru, Kit Siang perlu mengubah rentak tariannya sekali lagi. Dan seperti sebelum ini, beliau masih menggunakan rakyat untuk merealisasikan harapan menggunungnya.

PERANG PERSEPSI BN

Semalam dalam satu konvensyen di Ipoh, Perak, beliau menegaskan, PH perlu bekerja keras dan berusaha menunaikan segala janji dalam manifesto pilihan raya bagi memastikan mereka tidak menjadi kerajaan sepenggal.

Beliau mendakwa, perang persepsi oleh Barisan Nasional (BN) berjaya memperlihatkan kegagalan PH sedangkan banyak pembaharuan sudah dilaksanakan sejak mengambil alih kerajaan.

Malah katanya, gerak kerja PH perlu disemak semula dan mereka harus kembali kepada politik sederhana dengan tidak bersaing melalui cara menyebar kebencian selain perlu bertolak ansur.

“Kalau kita ikut keputusan di Tanjung Piai, tentulah PH akan menjadi satu kerajaan satu penggal sahaja, tidak ada masa depan. Tentunya kita akan kalah teruk pada PRU-15. Tetapi adakah ini apa yang rakyat mahu, adakah ini rakyat Malaysia mahu,” katanya mengharapkan jawapan.

Ternyata beliau sedar tentang tahap penerimaan rakyat terhadap DAP dan PH yang kini diberi kepercayaan mengemudikan bahtera negara.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menegur pimpinan dan ahli-ahli DAP yang dikatakan tidak lagi memainkan peranan mereka membawa ‘suara rakyat’ sebaliknya peranan itu kini diambil alih semula oleh parti-parti komponen BN.

Beliau berkata, jika sesuatu tidak dilakukan, PH akan mengalami kekalahan teruk pada PRU-15.

Justeru, Kit Siang mahu gerak kerja PH disemak semula dan kembali kepada politik sederhana dengan tidak bersaing melalui cara menyebarkan kebencian serta perlu lebih bertolak ansur.

Mungkin keberkesanan Muafakat Nasional yang dilandaskan atas nama kerjasama antara UMNO, Pas, MCA dan MIC memberi iktibar kepadanya.

Dalam bahasa mudah, kemarahan rakyat terhadap DAP dan PH, mendorong Kit Siang mula ‘menari’ mengikut rentak gendang dipalu BN.

Show More

Related Articles

Back to top button