Dikecam kerana edar produk di SJR, pengasas ESW sudah minta kebenaran
BARU-BARU ini tular di media sosial berkaitan pengasas produk ESW yang tampil memberikan produknya untuk kereta yang melalui sekatan jalan raya (SJR).
Ramai yang mempertikai tindakan pengasas ESW, Iddin Syah dan menganggap apa yang dilakukannya itu sebagai perbuatan yang menganggu petugas keselamatan yang melakukan kawalan.
Namun, Iddin Syah memberitahu yang pihaknya sudah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa sebelum melakukan aktiviti tersebut.
“Sebenarnya, sebelum aktiviti itu dibuat, saya sudah maklumkan kepada polis mengenai niat untuk sumbangkan 1,000 unit vitamin ESW kepada orang yang melalui SJR Bertam.
“Polis juga telah memberi kebenaran untuk saya lakukan perkara tersebut dan tidak mungkin saya akan berani melanggar arahan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Menurut Iddin Syah, tindakannya itu hanyalah sebagai tanda terima kasih dan mahu memastikan petugas barisan hadapan sentiasa kekal bertenaga.
Jelasnya, tindakannya itu juga dianggap sebagai satu kesedaran kepada orang ramai berkenaan pentingnya pengambilan vitamin terutamanya ketika jangkitan Covid-19 sedang tinggi dalam negara.
“Ini macam ‘small gesture’ saya sebagai anak muda dan warga yg prihatin. Sama juga dengan orang lain yang bagi sumbangan makanan di hospital, pusat kuarantin, cuma cara saya berbeza sikit kerana menggunakan produk saya sendiri.
“Lagipun, saya ada kat sana tak lama. Sekajap sahaja dan saya harap penjelasan ini dapat menghentikan spekulasi yang tular,” katanya.
Dalam pada itu, Iddin Syah memberitahu yang video tersebut telah dipadamkan atas beberapa sebab dan video tular di Twitter juga sebenarnya telah disunting oleh pihak lain.
Malah, ada juga yang memberikan pandangan supaya pihak usahawan itu dapat memberikan sumbangan dalam bentuk duit berbanding produk sendiri.
“Pasukan saya akan kenal pasti golongna yang betul-betul memerlukan sumbangan dalam bentu tunai. Bantuan lain yang sedang dirancang juga termasuklah sumbangan kepada Palestin,” katanya. -SM