Diinspirasi dari kisah benar, drama ‘Demi’ angkat tema pertahankan agama & akidah
Rina Azdi pernah menulis sebuah novel berjudul ‘Demi’ dan bermula 10 Ogos, karya yang diadaptasi kepada drama 26 episod itu sedia untuk ditonton menerusi saluran RTM pada pukul 9 malam.
Penerbitnya, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain berkata, penggemar drama tempatan boleh memilih untuk meluangkan masa untuk menonton drama ‘Demi’ ini sama ada di TV Okey atau Astro 146.
Bercerita lanjut tentang usaha untuk menyiapkan drama 26 episod ini, terlalu banyak ranjau, duri serta liku-liku yang terpaksa dihadapi dan ia kekal dalam memori sehingga hari ini.
“Saya telah membawa pasukan produksi ke Iverness, Scotland pada tahun 2020 untuk menjalani penggambaran drama ini di sana.
“Namun siapa sangka apabila Covid-19 melanda, semua negara ibarat ‘terkunci’ sekali gus membantutkan urusan penggambaran kami,” kongsinya.
Akibat perkara itu, Mahfuzah selaku penerbit kerugian hampir RM600,000 kerana terperangkap di luar negara dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Mahfuzah berkata demikian ketika ditemui media dalam majlis pelancaran drama ‘Demi’ yang dianjurkan di Hotel Grand Millennium, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, banyak episod dalam drama tersebut tertangguh dan penggambaran di Scotland sepatutnya dijadualkan sehingga 30 hari.
“Namun berdasarkan keadaan semasa ketika itu, pasukan produksi berjaya membuat penggambaran hanya untuk 10 hari sahaja dan ia tidak lengkap,” katanya.
Drama ‘Demi’ yang mengangkat tema mempertahankan agama serta akidah dibintangi Puteri Aishah, Keith Foo dan Ashraf Muslim.
Puteri Aisyah memegang watak Suraya dan dalam drama tersebut, Suraya adalah seseorang yang melalui pahit getir, kecekalan, pengorbanan, perjuangan dan cinta.
Pihak penerbit juga telah bekerjasama dengan RTM akan memberikan hadiah bernilai RM26,000 kepada para penonton yang berjaya menjawab soalan kuiz pada akhir cerita.