Pelakon dan juga penggiat teater, Azhan Rani mendedahkan dirinya hampir terjebak dengan projek Teater Muzikal Moyang Salleh yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.
Belum diketahui puncanya, pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 31 Ogos 2022 ini dimaklumkan telah dibatalkan pada saat-saat akhir.
Mengejutkan, perkara itu didedahkan salah seorang pelakonnya, Along Eyzendy yang memegang watak Si Amat menerusi Facebooknya dan walaupun kecewa, masih berlapang dada.
“Assalamualiakum semua.. Dengan dukacita saya memaklumkan bahawasanya persembahan Muzikal Moyang Salleh yang dijadualkan pementasannya pada akhir Ogos ini telah pun dibatalkan.
“Walaupn kontrak telah pun ditandatangani oleh hampir 90 peratus ahli yang terlibat dan promosi telah pun dibuat oleh para pelakon namun ternyata rezeki tidak menyebelahi kami,” katanya.
Dalam masa yang sama, Along mendedahkan para pelakon serta semua pihak yang terlibat telah memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakan pementasan tersebut.
“Paling tak best sekali apabila semua yang terlibat telah memberikan komitmen seperti datang latihan, hafal skrip dan terpaksa tolak job yang datang semata-mata untuk menjayakan show ini dan ianya menjadi sia-sia.
“Apakah sebab dan musababnya tak perlulah saya nyatakan di sini kerana ia melibatkan maruah dan air muka mereka yang bertanggungjawab,” kesalnya.
Harapan Along sebagai orang teater, semoga perkara-perkara sebegitu janganlah diulangi lagi oleh mereka yang ingin membuat teater besar terutama sekali di Istana Budaya.
“#istanabudaya sudah-sudahlah nak mempermainkan teater,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa rakan artis seperti Nam Ron dan Fauziah Nawi turut menzahirkan rasa duka cita.
Azhan Rani pula berkongsi cerita dia hampir terjebak dengan projek pementasan Teater Muzikal Moyang Salleh itu.
“Allahuakbar ya rabbi.. aku hampir terjebak projek ni along.. Allahu.. semoga Allah berikan kekuatan dan rezeki yang baik buat korang (kalian) semua,” tulisnya.
Pementasan teater itu berdasarkan legenda figura seorang pemimpin Melayu yang bernama Moyang Salleh dari daerah Jelebu yang mengisahkan tentang perjuangan, pengorbanan, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan.
Berdasarkan rekod, teater itu sepatutnya diterbitkan Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu dan dinaungi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) selain menampilkan lebih 150 tenaga produksi termasuk pelakon, penari, pemuzik dan tenaga produksi.
Teater Muzikal Moyang Salleh akan menampilkan lebih 16 buah lagu yang dicipta dan digubah beserta dialog yang pasti akan mmbuatkan pelakon terhibur dengan irama, tarian dan lakonan yang hebat dengan menampilkan pelakon lagenda tanah air, Dato’ Ahmad Tamini Serigar sebagai Moyang Salleh, Khir Rahman sebagai Sultan Abdul Jalil Muazam Shah, Along Eyzendy sebagai Si Amat, Eliza Mustapa sebagai Moyang Timah dan Hairi Safwan sebagai Dato Bendahara serta Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Motion Horse International Filem Festival (MHIFF), Mubarak Majid memegang watak sebagai Datuk Temenggung.
Namun semuanya adalah sia-sia dan walaupun latihan sudah dijalankan, ia mengecewakan peminat teater yang sudah pun membeli tiket yang dipromosikan secara atas talian!