Ekonomi

SME Bank terbitkan Indeks Sentimen PKS

Sebagai usaha untuk mengukur sentimen PKS terhadap ekonomi dan persekitaran perniagaan, SME Bank telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan Indeks Sentimen PKS sulungnya.

Bertindak sebagai penunjuk ekonomi utama, Indeks ini memberikan gambaran tentang realiti PKS di luar sana.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dato’ Dr. Aria Putera Ismail, berkata, pihaknya begitu bersemangat oleh penemuan tinjauan tersebut di mana Indeks Sentimen PKS menunjukkan bacaan positif 53.8.

“Walaupun terdapat persepsi bahawa PKS beroperasi dalam persekitaran yang tidak menentu dan berdepan cabaran getir yang belum pernah berlaku sebelum ini, bacaan Indeks melebihi 50 mata menunjukkan bahawa usahawan PKS optimis, berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri dengan prospek masa depan.

“Malah, 57.3% daripada responden menjangkakan persekitaran perniagaan akan bertambah baik dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dato’ Dr. Aria Putera Ismail

Aria menambah, selaras dengan keyakinan ini, lebih daripada 70% PKS telah menyatakan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan meningkatkan kecekapan operasi.

Menurutnya, hampir separuh daripada responden beranggapan bahawa pelan pengembangan perniagaan sebagai salah satu tumpuan paling utama tahun ini.

Indeks Sentimen PKS juga menunjukkan 73.2% PKS menjangkakan akan berlaku peningkatan hasil kasar yang membawa kepada peningkatan keuntungan pada masa hadapan.

Secara khususnya, 82.3% responden dari subsektor Penginapan dan F&B yakin akan berlaku peningkatan hasil, sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan jumlah pelancong asing yang dijangka lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee mengulas, apabila hasil bertambah baik dan disokong oleh permintaan yang mampan, keinginan untuk mengembangkan perniagaan akan meningkat, dan ini boleh membawa kepada pengambilan pekerja yang lebih tinggi.

Menurutnya, walaupun 42.2% daripada PKS bersedia untuk mengambil pekerja, mereka mungkin tidak dapat merekrut tenaga kerja yang mencukupi di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang ketat, sehingga menjejaskan kapasiti operasi mereka.

“Isu kekurangan buruh ini lebih mendesak bagi industri intensif buruh, yang seterusnya boleh menghadkan unjuran pendapatan mereka,” ujarnya.

Semasa fasa pemulihan ekonomi ini, PKS semakin bangkit dan faktor keyakinan semakin tinggi.

Walau bagaimanapun, mereka kini bergelut dengan peningkatan kos operasi disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan harga bahan mentah yang lebih tinggi.

Dua pertiga daripada responden menyenaraikan kos menjalankan perniagaan sebagai faktor utama yang akan mempengaruhi prestasi perniagaan mereka.

Ini diikuti dengan kesukaran untuk mengekalkan pelanggan kerana persaingan yang semakin meningkat dan kekurangan modal.

Info Grafik Indeks Sentimen PKS yang diterbitkan oleh SME Bank

“Sedar akan kesan negatif terhadap pelanggan, PKS cuba beralih kepada pembekal yang lebih murah atau mencari bahan mentah alternatif sebelum memilih untuk menyalurkan beban kepada pelanggan dengan menaikkan harga produk atau perkhidmatan mereka,” kata Lynette lagi.

Hampir 80% daripada responden menyatakan keperluan bantuan tunai melalui pembiayaan, walaupun dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat. Indeks Sentimen PKS juga menunjukkan 45% daripada responden kini sedang mencari pembiayaan tambahan semata-mata untuk menguruskan keperluan modal kerja mereka.

Persekitaran dasar monetari yang masih akomodatif menyokong akses kepada pembiayaan. Di peringkat kebangsaan, pembiayaan PKS yang diberikan oleh institusi kewangan berkembang dan berdaya tahan pada kadar 7.5% tahun-ke-tahun (Y-o-Y) pada April 2022 (S1 2022: 6.0%).

Walaupun nisbah pinjaman/pembiayaan terjejas kasar PKS dalam sistem perbankan kekal utuh pada 3.7% pada bulan April, persekitaran kadar faedah/keuntungan yang meningkat mungkin menimbulkan risiko penurunan kualiti aset dan boleh menyebabkan institusi kewangan mengetatkan piawaian penajajaminan.

Ketua Pakar Ekonomi kami percaya bahawa Indeks Sentimen PKS menunjukkan bahawa PKS mempunyai harapan dan positif tentang prospek pemulihan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang dan mereka kekal teguh dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Namun begitu, perkembangan dari segi luaran yang merangkumi persekitaran dasar monetari global yang lebih ketat, gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan, ketegangan geopolitik, inflasi yang lebih tinggi, risiko kemelesetan dan kemunculan penyakit berjangkit akan memberi kesan limpahan ke atas ekonomi domestik dan boleh menjejaskan trajektori pemulihan negara.

Laporan penuh Indeks Sentimen PKS 2022 yang diterbitkan oleh SME Bank boleh didapati di www.smebank.com.my. – SM

Artikel berkaitan > SME Bank XCESS buka laluan PMKS rentas sempadan

(Visited 317 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button