Bencana alamNasional

Diarahkan kesan kedudukan bangkai kapal M.V Setia Kilas

JABATAN Laut Malaysia Wilayah Timur telah mengarahkan syarikat pengurusan kapal M.V Setia Kilas yang karam di muara Kuala Terengganu semalam untuk mengesan semula kedudukan bangkai kapal itu.

Pengarah Laut Wilayah Timur, Hairizam Albukhari berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan bangkai kapal tersebut tidak hanyut dan mengganggu alur pelayaran kapal.

“Antara cadangan yang dikemukakan adalah melalui kaedah ‘hydrographic survey’ untuk menentukan kedudukan bangkai kapal tersebut, mengambil kira keadaan cuaca sekarang yang mana ombak kuat dan arus deras akan menghanyutkan kapal itu.

“Setelah mengenal pasti kedudukannya kita perlu susuli dengan tindakan lanjut termasuklah mengalihkan bangkai kapal tersebut. Ia selaras dengan notis dikeluarkan di bawah Seksyen 381 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,’’ katanya hari ini.

Namun beliau berkata, cuaca yang agak buruk ketika ini akan memberi kesukaran proses pencarian dan pengalihan bangkai kapal pembawa kru itu.

Oleh itu, beliau berkata, pihak bertanggungjawab telah diarahkan untuk memantau kedudukan bangkai kapal tersebut secara visual dan melalui kajian berdasarkan input maklumat arus, ombak serta angin.

Dalam pada itu, Hairizam berkata, tinjauan di lokasi kejadian hari ini mendapati tiada kesan tumpahan minyak atau serpihan bangkai kapal tersebut muncul di permukaan air.

“Kapal ini bukanlah kategori kapal tangki minyak dan bahan bakarnya adalah minyak diesel. Risiko pencemaran minyak boleh dikatakan minimum kerana sifatnya (minyak diesel) yang mudah meruap ke udara” katanya.

Hairizam berkata, Jabatan Laut juga akan menjalankan siasatan di bawah peruntukan Seksyen 334 (1) Ordinan sama untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian bagi tujuan penambahbaikan dan mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Kira-kira 11 pagi semalam, kapal M.V Setia Kilas dilaporkan tenggelam di Muara Kuala Terengganu setelah hanyut dan merempuh pemecah ombak berikutan kegagalan enjin berfungsi.

Sebelum kejadian, kapal berkenaan sedang menjalani ujian jentera namun mengalami masalah apabila enjin gagal berfungsi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button