Negeri
Di Tawau pun ada Jalur Gemilang diterbalik
Belum pun reda isu pemasangan bendera Jalur Gemilang diterbalik di Semenanjung, sebuah restoran makanan laut, di Tawau, dikecam orang ramai apabila mengulangi kesilapan sama, hari ini.
Tindakan pemilik restoran di Jalan Chong Thien Vun disedari orang ramai sebelum beberapa individu mengambil gambar dan menularkannya di media sosial.
Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah) Ismail Sabran menyifatkan tindakan pemilik restoran terkenal itu tidak boleh diterima apatah lagi ketika Malaysia menyambut Bulan Kemerdekaan.
Permohonan maaf pemilik restoran.
“Kita telah lama merdeka dan seharusnya setiap rakyat negara ini menghargai nikmat kemerdekaan yang ada.
“Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara dan tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa pun termasuk memasangnya secara terbalik,” katanya ketika dihubungi, Borneo Today.
Berdasarkan gambar yang diviralkan, bendera Negeri Sabah dipasang dengan kedudukan betul, manakala Jalur Gemilang sebaliknya.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat orang ramai, hari ini, berhubung kejadian tersebut bagi membolehkan tindakan perundangan diambil ke atas pihak terbabit.
Ketua Balai Polis Tawau Asisten Superintenden Jafri Abd Hamid ketika dihubungi, berkata, pihaknya sudah ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan terperinci.
“Teguran sudah dilakukan kepada pemilik restoran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
“Malah pemilik restoran turut memperbetulkan kedudukan Jalur Gemilang, sebaik ditegur anggota polis bertugas,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran facebook restoran berkenaan, pemilik restoran memohon maaf berikutan kesilapan pihaknya memasang bendera secara terbalik.
“Perkara itu tidak disengajakan dan sebagai rakyat Malaysia, kami turut kecewa dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu.
“Kami memandang serius perkara ini dan tiada niat sama sekali untuk menghina Jalur Gemilang,” katanya. – SM