Dendam, ego, nafsu kuasa “PM 6 bulan”
BILA heboh pemerhati politik di luar sana waktu ini memperdebatkan isu “PM 6 bulan”, Belang teringat kisah bekas Perdana Menteri Australia, mendiang Frank Forde.
Forde adalah seorang polikus dari parti Buruh yang merupakan perwakilan pusat Capricornia selama 24 tahun (1922-1946). Dia berkhidmat dalam pentadbiran Australia sebagai wakil perdana menteri, Menteri Angkatan Darat, anggota Dewan Penasihat Perang, dan Menteri Cukai.
Forde memiliki resume yang bagus. Itulah sebabnya ketika Perdana Menteri John Curtin meninggal dunia pada Julai 1945 kerana serangan jantung, dia mengambil alih ‘kemudi’ dan menjadi Perdana Menteri Australia.
Namun, Parti Buruh mempunya idea lain. Mereka tidak ingin menjadikan Forde sebagai perdana menteri tetap. Kerana itu, parti memilih Ben Chifley untuk mengisi jawatan perdana menteri.
Forde menyandang jawatan Perdana Menteri dari 6 hingga 13 Julai 1945. Beliau merupakan perdana menteri ke-15 Australia dengan waktu terpendek atau singkat perjawatannya.
Itu kisah Forde. Cuma sesekali Belang dan barangkali sesiapa pun akan terdetik di kepala (fikiran) ini jika ada si polan itu mahu menjadi Perdana Menteri – jawatan nombor satu dalam kerajaan – hanya dalam tempoh singkat atau misal kata empat, lima atau enam bulan, apalah agaknya yang ada dalam pemikiran si empunya diri.
Bagi Belang, satu jenis pelakuan ini sahaja – amat tidak bertanggungjawab.
Apatah lagi jika dia mencetus kemelut politik semata-mata kerana dendam dan kepentingan peribadi untuk kepuasan ego dan nafsu kuasa.
Itu bukan sifat dan sikap seorang yang kononnya dihormati ramai dalam dan luar negara. Apa lagi jika sseorang itu amat berjasa dalam negara dan dikenali, popular di seluruh dunia. Kalau berstatus “negarawan”, lagi lah.
Belang juga hendak bertanya, apa yang boleh dilakukan oleh seseorang Perdana Menteri dalam tempoh enam bulan?
Merancang dasar dalam kerajaan “22 bulan’ yang ditinggalkan sebelum ini? Atau memperkenalkan polisi baharu dalam ‘6 bulan’, yang kemudian diubah, ditokok tambah sehingga menyusahkan rakyat jelata?
Enam bulan pentadbiran Perdana Menteri akan bikin orang `tersenyum’. Bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan masyarakat antarabangsa.
Cerita `perintah singkat atau contohnya enam bulan’ ini hanya terkait dengan kisah-kisah skandal, jenayah atau penyelewengan sehingga empunya diri terpaksa meletak jawatan.
Ini belum perintah atau masuk Putrajaya, sudah mengatur perancangan di kepala untuk meletak jawatan.
Kalau enam bulan tidak ada strategi lain tak tahulah?
Hanya jauhari mengenal manikam. Hakikatnya Tun Dr. Mahathir tetap Dr Mahathir.
Kita perlu melihat Dr. Mahathir dalam konteks sebagai ahli politik.
Tidak nafikan sumbangan beliau, tetapi kita juga perlu ingat beliau juga ada kelemahan – kelemahan sebagai Perdana Menteri ke-4 dan ke-7.
Begitupun andai kata Dr Mahathir ada rezekinya dan takdir-Nya meletakkan beliau untuk kali ketiga sebagai PM ke-9, beliau masih belum mengatasi rekod Forde.
Wallahualam. – SM