Demi wasiat, lelaki sanggup tinggal bersama mayat ibu selama 54 hari
SEORANG lelaki di Bali, Indonesia dilaporkan tinggal bersama mayat ibunya selama 54 hari di rumah mereka kerana menunaikan wasiat terakhir ibunya.
Ketua Polis Daerah Seririt Kompol, Gede Juli mengesahkan ibu lelaki tersebut, Wayan Terpi meninggal dunia pada 13 November lalu.
Juli berkata, Putu Sugiarta, 53 bertindak begitu kerana ibunya telah meninggalkan pesan supaya tidak mengebumikannya selama empat bulan dan tidak perlu melibatkan keluarga lain.
“Lelaki itu tidak terus menguburkan jenazah ibunya tetapi dia merawat dan mengawet jenazah dengan menggunakan ais,” katanya.
Penduduk kampung dan keluarga terdekat mula curiga kerana sudah lama tidak melihat Wayan keluar rumah.
Kemudiannya mereka cuba mencari Wayan dan mereka terkejut apabila mengetahui wanita itu telah meninggal dunia hampir dua bulan.
Penduduk kampung meminta Sugiarta mengebumikan mayat ibunya namun permintaan itu ditolak dan dia berkeras untuk mengikut wasiat ibunya.
“Disebabkan ada perbezaan pendapat, penduduk akhirnya melaporkan kepada polis supaya mayat itu segera dikebumikan.
“Polis yang menerima laporan itu pada Khamis telah pergi ke rumah Sugiarto.
“Selepas berunding, lelaki itu akhirnya akur untuk mengebumikan ibunya,” katanya.
Juli berkata, pihak polis sempat melakukan pemeriksaan terhadap Sugiarta tetapi tidak menemukan tanda-tanda kekerasan terhadap mangsa atau perkara mencurigakan. -SM