Nasional

Demi prinsip perjuangan, saya tetap ikut Tun Mahathir – Marzuki

SETIAUSAHA  Agung Parti BERSATU, Senator Datuk Marzuki Yahya tidak gentar dengan cakap-cakap bahawa beliau tidak boleh `survive’ dalam politik dengan terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah ditolak sebahagian besar pemimpin kanan parti itu dari kem Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menamakan `beberapa kerat’ sahaja ahli Parlimen yang berpihak kepada pengerusi BERSATU itu antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), beliau yakin ia bukan `sesuatu yang harus digerunkan’.

“Selain saya, Tun sendiri (Langkawi) serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun)…hanya beberapa orang bersama Tun.

“Ini bukan perkara yang harus digeruni tapi isunya soal melanggar perjanjian yang mana kerajaan yang tertubuh selama ini (kerajaan Pakatan Harapan) dihancurkan kerana (berebut) jawatan Perdana Menteri.

“Sanggup menggadai negara semata-mata untuk jawatan Perdana Menteri. Ini salah perhitungan, keputusan terburu-buru yang salah implikasi.

“Kejatuhan kerajaan akibat salah tingkah laku dari keputusan presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) itu sendiri,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA baru-baru ini.

Marzuki menarik perhatian bahawa penubuhan BERSATU bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat dalam PRU-14.

“Kita akui kerajaan yang baharu (ambil alih negara pada 9 Mei 2018) biasanya akan ada kesilapan, bukannya kita tidak perbaiki.

“Perancangan yang dibuat adalah dalam jangka masa panjang, iaitu jalan yang betul untuk negara menghadapi masa depan demi kemakmuran untuk Malaysia.

“Tapi malangnya, lihatlah apa yang digembar-gemburkan oleh UMNO. Ia tidak melihat kemakmuran negara tetapi perkauman yang disebarkan dengan kerajaan kononnya dikuasai oleh DAP sehingga membangkitkan kemarahan orang Melayu,” kata beliau.

Sedangkan, tegas Marrzuki, adalah mustahil persepsi itu diterima kerana bukti dari susun atur kerajaan dan Kabinet tidak menunjukkan kerajaan PH dikuasai oleh DAP.

“Dari segi pengagihan kerusi (dalam Kabine) walaupun Parti Amanah cuma menang 11 kerusi Parlimen dalam PRU-14, kita bagi sama rata. Di Perak walaupun Bersatu menang cuma satu kerusi, atas dasar kesepakatan, menteri besarnya dilantik dari Bersatu.

“Justeru tidak benar DAP kuasai kita. Dan kita akui memang tidak dapat kawal aktivis-aktivis dari kalangan Melayu, India dan Cina, namun untuk buat pelaksanaan ia bergantung kepada kerajaan untuk tidak menidakkan kaum lain,” kata beliau.

Kata Marzuki:
“Dr Mahathir cukup kecewa kerana parti yang menang (PRU-14) pula jadi pembangkang, yang kalah menjadi kerajaan.

“Ini semua berkaitan soal prinsip. Tun Mahathir digambarkan amat berkurangan kononnya menjadi `barua DAP’ seperti digambarkan media sosial.

“Padahal sebelum ini beliau terbukti lantang berani di dalam negara sehingga diiktiraf dunia. Contohnya semasa krisis ekonomi 1997/1998, Malaysia yang dipimpin beliau tidak meminjam dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mana semasa itu Jepun dan Korea Selatan pula meminjam.”

Mendedahkan bahawa Muhyiddin ada `memanggilnya’ selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri 1 Mac lalu, Marzuki berkata, beliau menolak kerana fokusnya hanya kepada parti.

“Saya lihat ini peluang untuknya menjadi Perdana Menteri dengan menggunakan kesempatan sehingga sanggup melanggar prinsip dan keputusan parti.

“Dikuasai kleptorat, itulah yang mengecewakan Tun Mahathir,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button