Demi `cantikkan’ UMNO-Pas, Najib, Zahid berundurlah…
Analisis
SUDAH cantik kerjasama UMNO-Pas setakat hari ini.
Ambil sahaja keputusan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) utama tumpuan orang Melayu di Cameron Highlands, Semenyih dan Tanjung Piai.
Majoriti undi yang diraih calon-calon Barisan Nasional (BN) cukup menggetarkan saingannya, kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Tidak ada cacat celanya kerjasama dua parti Melayu terbesar di negara ini itu. Segalanya berjalan lancar. Awesome, kata orang putih.
Namun UMNO-Pas harus beringat. Kalau dikira mandat memerintah PH, ada tempoh tiga tahun setengah lagi. Macam-macam boleh dilakukan untuk menarik semula hati orang Melayu – yang kian beransur-ansur meninggalkan PH tika ini.
PULUHAN KES RASUAH
Begitupun langit tidak selalu cerah. Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri sedang menghadapi berpuluh kes jenayah rasuah.
Jika dikatakan kes-kes itu tidak memberatkan BN, ia sungguh tidak munasabah. Soal politik, politik juga. Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu akan mengetahui di mana letaknya kebenaran dan kepalsuan tidak lama lagi.
Ini khususnya semasa Najib membela dirinya di mahkamah bulan depan manakala Ahmad Zahid ketika kesnya masih berjalan waktu ini.
NASIB HARUN
Sebut saja Najib dan Ahmad Zahid, Suara Merdeka terkenangkan nasib Allahyarham Datuk Harun Idris lebih 40 tahun lepas. Harun orang kuat UMNO, Ketua Pemuda UMNO Pusat dan Menteri Besar Selangor.
Harun menghadapi masalah jenayah kerana dituduh pecah amanah akibat kerugian Bank Rakyat menganjurkan kejohanan tinju dunia antara Muhammad Ali dan Joe Bugner pada 1975 di Stadium Merdeka. Beliau ialah pengerusi bank itu. Beliau juga dituduh menerima rasuah di Hongkong & Shanghai Bank (HSBC) – dikatakan untuk UMNO Selangor – kerana meluluskan pembinaan penyambungan premis HSBC.
Pada dasarnya, rata-rata orang percaya kes Harun dicetuskan oleh perselisihan antara beliau dengan Perdana Menteri Hussein Onn sehingga Harun diturunkan dari jawatan Menteri Besar melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Selangor – selepas menduduki kerusi itu selama 12 tahun.
PEMBAYANG NASIB NAJIB, ZAHID
Ini menunjukkan sekuat mana seseorang itu dalam politik, ia boleh dijatuhkan melalui kuat kuasa undang-undang. Dalam hal ini, orang yang di sebelah sana itu tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri. Begitulah juga keadaan dihadapi Najib dan Ahmad Zahid.
Jika Harun tidak jatuh atau dijatuhkan, beliau berpotensi untuk mendaki tangga kepimpinan UMNO dan Malaysia lebih tinggi. Dari menjadi pemimpin bola Selangor dan Malaysia yang paling popular dan berkesan kepada menjadi pemimpin UMNO yang mencabar, Harun bagaikan menjadi pembayang kepada nasib Najib dan Ahmad Zahid.
Jika Harun tersadung pada kes pertama daripada kira-kira 10 kes yang dihadapi, bayangkan nasib Najib dan Ahmad Zahid dengan berpuluh-puluh kes mereka. Jumlah wang di inti kes Harun tidak melebihi RM10 juta (RM8 juta untuk membayar Muhammad Ali dan Joe Bugner).
Sedangkan jumlah wang yang menjadi sengketa kepada Najib dan Ahmad Zahid adalah dalam jumlah bilion-bilion ringgit – satu angka baharu dalam budaya hitungan Melayu.
BERJIWA BESAR
Pakat Muafakat Nasional UMNO-Pas bukan untuk penerusan hayat politik Najib dan Ahmad Zahid. Tetapi lebih luas lagi seperti yang dipertegaskan, demi politik Melayu yang tercabar.
Malaysia tidak aman jika Melayu tergugat.
Najib dan Ahmad Zahid akan dianggap berjiwa besar jika kedua-keduanya sedia berkorban. Jari-jari mereka jangan tergamit di sebalik kemuafakatan dua parti Melayu terbesar ini. Jangan seret UMNO-Pas ke dalam lubang mereka.
Dan pengunduran Najib dan Ahmad Zahid ini pastinya menjawab telahan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa UMNO belum lagi hilang partinya.
- SUARA MERDEKA