Politik

Demi Bangsa Johor, Kombinasi 56 Calon PN Ternyata Kukuh & Sedia Berkhidmat Untuk Rakyat!

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) yakin 56 calon yang ditampilkan terdiri daripada golongan muda, berpengalaman, berpendidikan dan profesional mampu memikat hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 33 kerusi sementara Pas meletakkan calon di 15 kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula mempertaruhkan calon di lapan kerusi.

Katanya, daripada jumlah itu 41 calon muka baharu manakala 15 lagi bertanding semula dengan 19 calon berusia bawah 40 tahun.

“Calon yang ditampilkan merupakan kombinasi orang muda, mereka yang berpengalaman dan wanita.

Dari segi kelayakan akademik pula, ada yang merupakan doktor, bekas guru, usahawan dan pensyarah.

“Saya melihat calon yang ditampilkan ini kuat sekaligus memperlihatkan komitmen PN untuk membentuk kerajaan negeri yang kuat, tolak rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PN di Pulai Spring Resort di sini pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengarah PRN Johor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung Bersatu dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Sementara itu, tiga exco kerajaan negeri sebelum ini turut diumumkan sebagai calon iaitu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri serta Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button