Demi anak, Nash sanggup labur hantar Aniq Asri ke Sepanyol
Aniq Asri akan ke Akademi FC Malaga City
NAMA Nash atau Datuk Nashrudin Elias dalam industri hiburan tanah air dan negara seberang termasuk di Singapura dan Brunei bukanlah satu nama baharu kerana pelantun lagu berjudul Ada Syurga Di Wajahmu ini telah lama melakarkan namanya di atas kanvas seni dan hiburan.
Bukan sahaja peminat mengenali lagu-lagu dendangan Nash yang suatu ketika dahulu pernah berimej rambut panjang ketika bersama dengan kumpulan Lefhanded.
Bahkan kisah peribadinya turut menjadi pilihan paparan media tempatan khususnya majalah-majalah hiburan seperti URTV, HAI, Media Hiburan, Mangga (sekadar menyebut beberapa nama majalah hiburan tanah air).
Nasih menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal bukanlah suatu yang rahsia bahkan mendidik dan membesarkan anak-anaknya selepas perkahwinan yang dibina tidak mampu bertahan lama, ramai yang memberi tabik hormat kepada Nash.
Kemampuannya menjaga dan membesarkan anak-anak tanpa kehadiran wanita bergelar isteri di sisinya membuatkan beliau adalah bapa mithali.
Suatu ketika dahulu, pernah bertanya kepada Nash, tidakkah dalam kalangan anak-anaknya, mengikut jejak langkahnya untuk menjadi seorang artis?
“Saya tidak memaksa kerana terpulang kepada anak-anak, kerjaya apa yang menjadi pilihan mereka. Mungkin cukup ayahnya seorang yang menjadi penyanyi,” kata Nash kepada wartawan SUARA MERDEKA hari ini.
Ternyata apa yang dikatakan oleh Nash, tidak mengongkong anak-anak dalam memilih kerjaya, dikotakannya.
Benar kata beliau, kalau ada duit tetapi tiada bakat, apa pun tidak menjadi.
Justeru sebagai seorang bapa, tidak salah jika beliau sanggup menghantar salah seorang anaknya yang amat mencintai sukan bolasepak, untuk menjadi seorang pemain yang professional.
Mengikut kemampuan kewangannya, Nash semestinya mempunyai impian untuk melihat anak bujangnya, Aniq Asri berjaya dalam sukan bolasepak.
Siapa tahu, suatu hari nanti, Aniq Asri akan memahat namanya sebaris dengan pemain-pemain bolasepak bertaraf dunia seperti Pele, Diego Maradona, Christian Ronaldo, Ronaldinho yang menjadi kegilaan pencinta bolasepak, lelaki dan wanita.
Menghantar Aniq ke Sepanyol merupakan satu ‘perjudian’ di pihak Nash walaupun ia lebih menjurus ke arah pelaburan demi karier pemain muda kebangsaan ini.
Siapa kata itu satu usaha yang sia-sia kerana hasilnya akan dituai mengikut masa dan ketentuan Ilahi.
Aniq, graduan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dilaporkan bakal menjejakkan kakinya ke Akademi FC Malaga City .
Itu sekali gus memberikan sinar cerah buat perkembangan bola sepak negara apabila Aniq akan mengikuti latihan yang disediakan oleh akademi berkenaan.
Biarlah apa orang nak kata, persetankan dengan tanggapan sesetengah pihak yang menganggap menghantar Aniq ke akademi itu adalah satu pelaburan kosong.
Nash tetap dengan pendiriannya dan dengan tegas menyatakan bahawa bakat dan kebolehan yang dimiliki dan dipaparkan oleh anaknya itu menjadi tunjang kepada pemilihannya untuk bermain di kelab bolasepak berkenaan.
Prinsip yang dipegang oleh Nash ialah apabila kita menginginkan sesuatu itu, sememangnya memerlukan pelaburan atau modal tetapi modal yang dikeluarkan itu (wang ringgit) menjadi faktor kedua.
“Apa yang penting bagi saya, Aniq memiliki bakat dan berminat dengan apa yang dilakukannya dan kami hanya memberi galakan untuk dia berbakti kepada negara,” ujar Nash.
Bukan menaruh segunung harapan tetapi sebagai seorang ayah, Nash menyangkut impian terhadap anaknya itu sebagai pemain muda negara yang harus diberikan galakan secara berterusan serta peluang untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik.
Tanpa bakat, galakan dan peluang serta kepercayaan yang diberi kepada Aniq Asri untuk bergelar pemain bolasepak antarabangsa, dia sekadar menjadi pemain di kampung. – SM