APABILA satu serbuan polis membabitkan penahanan seorang pemimpin bahagian dari dari sebuah parti kerajaan dalam kes penyalahgunaan dadah sekitar April 2018, ini jawapan dari pelakunya:
“Saya diperangkap. Saya hanya ambil kopi dan semua rakan-rakan saya mengambil minuman ringan. Tiada dadah, tiada minuman keras.”
Semalam 13 Januari 2020, alasan lebih kurang sama diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah tentang dakwaan dia antara ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondominium sehari sebelum itu – juga ada kaitan kes dadah – apa katanya:
“Saya berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah.”
Kes awal tadi menyebabkan pemimpin bahagian terbabit yang awalnya menjadi calon favourite melangkah masuk saingan pilihan raya umum ke-14, tetapi akhirnya dipangkah namanya oleh pucuk pimpinan.
Nasib Adhif Syan bagaimana?
Suara Merdeka teringat waktu kecil dulu semasa ditunjukkan orang tua akan sejenis tumbuhan, dedalu namanya.
Dedalu tidak tumbuh di tanah. Dedalu hidup di pangkal dahan pokok-pokok rendang dan sentiasa duduk di atas.
Pohon rendang itu selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifik, dedalu ini adalah parasit.
Memerhati dari jauh survival Parti Bersatu, singkatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Suara Merdeka agak kecewa berbaur sedih.
Sudahlah untuk mencapai hingga ke tahap hari ini – dengan ketuanya kini merangkap Perdana Menteri – cukup sukar, terpaksa menempuh laluan cukup berliku. Bila sudah dapat apa yang diimpikan, lain pula ceritanya.
Cubalah cari mana-mana parti di dunia ini, adakah terdapat sebuah parti kecil mendominasi parti-parti besar dalam gabungan induk?
Hanya Bersatu berjaya melakukannya dengan pemilikan 26 kerusi Parlimennya berbanding PKR terbanyak, 50 kerusi dan DAP (42).
Tak reti bersyukurkah? Kenapa lah segelintir ahli parlimen dan ADUN Bersatu ini tak mahu jaga maruah dan air muka Tun? Dr. Mahathir Mohamad, Suara
Merdeka yakin bukan sahaja kecewa dengan perkembangan negatif menimpa orang partinya, tetapi tidurnya pasti tidak lena memanjang.
Satu persatu isu terpaksa didepaninya dalam usia 94 tahun ini. Sudahlah, terpaksa pangku menteri pendidikan disebabkan kurang kematangan penyandangnya, itu belum lagi melayan fi’il dan gelagat `pelik’ menteri dan orang
Bersatu yang lain, tiba-tiba yang terbaharu ini dihadapkan pula dengan kes ‘Dengkil’.
Ya, mana-mana parti politik akan ada ‘Abu Jahal’nya.
Cuma parti yang mahu survive dalam merenangi arus gelombang aplikasi WhatsApp hari ini perlu segera mencantas dedalu-dedalu ini.
Cuma soalnya, adakah dedalu-dedalu ini akan membesar dan merimbun di pokok rendang?
Dan biasanya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara ‘natural’ akhirnya.
Pokok dedalu…ia menumpang
Menjadi parasit…ia jembalang
Dahan akan mati…ia perlu ditebang
Kalau terjumpa …ia perlu dibuang.
Pokok dedalu…jika dah dibuang,
Jangan ditanam semula…ia musuh utama malam dan siang. – SM