Jenayah

Dedahkan isu keselamatan diri kepada wanita muda 35 tahun dan ke bawah – Nurul Fadzilah

Wanita muda yang berusia 35 tahun dan ke bawah harus didedahkan dengan isu keselamatan diri dan digalakkan untuk menghadiri program pengurusan dan pemerkasaan wanita.

Hal ini demikian kerana bagi Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaludin, sekiranya perkara ini tidak dapat dilaksanakan, ramai wanita kurang pengetahuan mudah menjadi mangsa.

“Merujuk kes yang tular, gadis berusia 21 tahun tersebut dikatakan terlalu mempercayai teman lelakinya sehingga hamil empat bulan.

“Gadis malang itu pasti tidak pernah terfikir teman lelakinya akan bertindak durjana dengan membunuh, menoreh perut dan membakar dirinya,” ulas Nurul Fadzilah.

Nurul Fadzilah berkata demikian mengulas kejadian malang yang menimpa gadis berusia di Sungai Besar yang ditikam, ditoreh dan dibakar teman lelakinya yang berusia 20 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias, suspek bertindak demikian selepas mengetahui teman wanitanya hamil dan cuba menutup masalah yang sudah dibuat.

Melihat permasalahan yang berlaku, Nurul Fadzilah menggariskan sekurang-kurangnya lima pesanan yang harus dipegang wanita demi keselamatan diri masing-masing:

a. Jangan ikut sesiapa yang tidak dikenali ke kawasan hutan atau tempat terpencil atau tempat yang meragukan
b. Jerit sekuat hati jika terdapat sentuhan dan pergelutan
c. Hubungi talian kecemasan secepat mungkin jika terdapat keraguan dan di bawa ke kawasan yang tidak sepatutnya.
d. Hantar ‘live location’ kepada orang yang terdekat dengan anda.
e. Mempunyai senjata tajam seperti pisau kecil atau paper spray di dalam beg dan sebagainya.

Dalam masa sama, Nurul Fadzilah berpendapat, Kerajaan juga perlu tekankan isu masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

“Sokongan psikososial, cara menangani stres dan masalah kehidupan seharian perlu diadvokasi kepada masyarakat terutama masyarakat luar bandar.

“Masyarakat luar bandar kadang-kadang terlepas dari perhatian dan pembangunan sahsiah,” katanya semasa dihubungi Suara Merdeka, hari ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button