De Paula yang kerap dikecam kini jadi sandaran Melaka FC
Kelibat pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula yang sering dikecam peminat bola sepak negara gara-gara aksi kurang bertenaga.
Namun pemain itu kini menjadi sandaran utama mengemudi jentera serangan Melaka FC bagi mengharungi cabaran Liga M3 yang akan bermula bulan depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pemain penyerang dari Brazil itu menyertai skuad Hang Tuah selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) melepaskannya melalui pinjaman untuk tempoh semusim.
Menurutnya, kehadiran penyerang JDT itu dijangka memperkukuhkan jentera serangan dalam usaha Melaka FC memburu slot ke saingan Liga Super musim depan.
Katanya, walaupun pemain itu sering dikecam sewaktu menyarung jersi kebangsaan namun beliau yakin dan percaya dengan kemampuan De Paula untuk membawa Melaka FC mengungguli Liga M3.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana meminjamkan kita De Paula yang sekali gus menyelesaikan masalah kelemahan jentera serangan.
“Saya percaya reputasi De Paula menjadi penjaring terbanyak ini pastinya dia akan melakukan sesuatu untuk Melaka.
“Pasukan ini dibarisi 25 pemain ini dianggap paling mantap bersaing dalam Liga M3 kerana sasaran kita adalah untuk kembali beraksi ke Liga Super musim depan,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Jersi Baharu Melaka FC di Casa Del Rio malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
Dalam pada itu Nur Azmi berkata, skuad Melaka FC tidak jadi menggunakan Stadium Hang Tuah seperti yang dirancang lebih awal untuk aksi Liga M3 sebaliknya akan berpindah ke Stadium Hang Jebat.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP) Liga Bolasepak Amatur (AFL) mendapati padang di Stadium Hang Tuah tidak sesuai untuk aksi Liga M3.
“Sehubungan daripada keputusan AFL itu, MAFA terpaksa mengambil keputusan untuk kembali semula ke Stadium Hang Jebat untuk semua aksi membabitkan Melaka FC,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun padang Stadium Hang Jebat tidak rata namun meminta jasa baik Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shahdan Othman untuk membaikpulihnya. -SM