DBP guna ‘keling’ dalam definasi ‘tamby’ timbulkan kemarahan
BEBERAPA wakil rakyat daripada pelbagai parti dilaporkan marah terhadap Dewan Bahasa Dan Pustaka kerana memasukkan perkataan keling dalam definasi tambi.
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, iaitu Kamus Dewan versi dalam talian yang dikendalikan oleh DBP, perkataan ‘tambi’ didefinisikan sebagai “panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita”.
Menurut mereka, masyarakat India menganggap istilah “keling” sebagai menunjukkan rasa tidak hormat.
Memetik laporan Malaysiakini, antara yang mengecam penggunaan perkataan Keling dalam definasi tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy.
Menurut Ramasamy, Tambi adalah kata ramah atau kasih sayang yang digunakan untuk merujuk kepada orang yang lebih muda. Begitu juga, kata ‘anna’ (kakak) boleh digunakan untuk menunjukkan orang yang lebih tua atau sebagai istilah hormat.
“Namun, DBP harus maklum bahawa ‘keling’ atau ‘kelinga’ tidak memiliki tempat dalam kosa kata Tamil.
“DBP bersifat rasis apabila mengaitkan perkataan ‘tambi’ yang biasa digunakan masyarakat Tamil dengan perkataan ‘keling’ yang menghina,” kata Ramasamy kepada Malaysiakini.
Beliau menegaskan tidak ada perkataan seperti itu dalam perbendaharaan kata bahasa Tamil.
Turut tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan keling itu adalah Senator MIC S Vell Paari.
Menurutnya, siapa pun yang melakukan terjemahan tersebut dan menggunakan kata ‘keling’ dilakukan dengan tujuan menghina orang India di negara ini.
“Inilah keadaan negara yang menyedihkan di mana mereka secara rasmi boleh menghina kita. Saya harap menteri perpaduan nasional segera memeriksanya.
“Dan jangan katakan itu adalah kesalahan dan abaikan. Selidiki siapa yang melakukannya. Sekiranya baru-baru ini terjadi, orang yang bertanggungjawab harus dipecat,” tambahnya.
Untuk rekod, perkataan keling merupakan sebagaian daripada kosa kata bahasa Melayu.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka perkataan keling didefinasikan sebagai bahagian India selatan, benua dan orang yang berasal dari selatan India.
Beberapa teks klasik Melayu seperti Sejarah Melayu dan Sejarah Raja-Raja Pasai menggunakan istilah Benua Keling untuk merujuk negara India.-SM