Berita

DBP, DBKL harus bertanggungjawab dengan papan iklan Sugar Daddy

SESEORANG perlu dipertanggungjawab di atas kesilapan memberi kebenaran pemasangan papan tanda gergasi mempromosi kehidupan seksual yang bebas dan tidak bermoral.

Bayangkan ketika Malaysia menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak para pemimpin Islam, jika tidak dek kerana netizen membuat bising papan tanda itu akan terus terpampang.

Kita memperjuangkan pelbagai isu berhubung umat Islam, tetapi negara sendiri menuju ke arah yang berbeza iaitu lebih kepada negara liberal dan kapitalisme.

Sikap tidak sensitif dan bekerja sambil lewa tidak seharusnya dibiarkan berterusan di negara ini. Isu-isu kecil ini sebegini akan menjejaskan nama baik dan integriti negara.

Oleh itu tindakan tegas perlu dikenakan kepada dua pihak yang bertanggungjawab meneliti dan memberi kelulusan, supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Dalam hal ini Suara Merdeka bersetuju dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hanna Yeoh yang berkata, kelulusan papan iklan harus datang dari DBKL. Bukan Yayasan Wilayah Persekutuan atau mana-mana syarikat lain.

Beliau juga mempertikaikan bagaimanakah DBP tidak semak kandungan aplikasi sebelum meluluskan teks untuk papan iklan?

“Sindrom ini “Saya tidak tahu apa yang berlaku dengan akaun bank saya” atau “saya tidak tahu apa yang saya telah diluluskan” perlu dihentikan. Berdasarkan urusan kami dahulu dengan DBP, saya dapat memberitahu anda bahawa mereka sangat ketat. Jadi apa yang berlaku dalam kes ini?” katanya.

Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran terdahulu berkata badan itu hanya menyemak iklan aplikasi ‘dating’ atas talian SugarBook dari sudut penggunaan bahasa Melayu.

Pada masa sama Abang Sallehuddin berkata pihaknya hanya menerima teks iklan dan sekeping gambar sahaja untuk disemak.

“Betul kita luluskan (ayat pada iklan) ‘di sinilah bertemunya yang cantik dan yang berjaya’. Kita semak bahasa sahaja, kandungan bukan kami yang pantau,” kata Abang Sallehuddin.

Beliau berkata pihaknya hanya menerima teks iklan dan sekeping gambar iaitu yang digunakan sebagai gambar utama dalam iklan bahasa Melayu aplikasi itu.

“Kami hanya terima sekeping gambar sahaja, pegawai (yang menyemak) menganggap ia buku kekeluargaan,” katanya lagi, sambil menegaskan soal kandungan bukan di bawah bidang kuasa DBP, sebaliknya pihak berkuasa tempatan.

Gambar papan iklan yang memaparkan aplikasi ‘dating’ atas talian SugarBook mula tersebar semalam dan menerima bantahan ramai.

Hari ini DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya tidak pernah meluluskan iklan itu dan telah mengarahkan ia ditarik balik.

YWP – yang bertanggungjawab terhadap dua papan iklan yang terlibat – juga berkata telah memanggil dan memberi surat tunjuk sebab kepada operator iklan.

Sugarbook ialah aplikasi ‘dating’ atas talian yang diasaskan di Malaysia yang dikatakan menghubungi “sugar daddy” atau “sugar mommy” dengan “sugar baby” di seluruh Asia.

“Sugar daddy” atau “sugar mommy” biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda – “sugar baby” – sebagai pertukaran kepada perhubungan.

Menurut laman Facebook Sugarbook, iklan tersebut – yang pertama kali dibuat – mula dipaparkan pada 3 Disember.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button