Nasional

Daurah Hadis 40 Imam Nawawi, iltizam KPM untuk tingkatkan penghayatan guru

Kementerian Pendidikan (KPM) julung kalinya menganjurkan Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat Kebangsaan 2024 dalam usaha memartabatkan dan meningkatkan penghayatan guru terhadap hadis itu sekali gus menjadi rujukan pelajar Islam bagi membentuk sahsiah diri.
Penganjuran Daurah Hadis 40 Imam Nawawi yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula Selasa merupakan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Memetik BERNAMA, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program itu juga bagi berkongsi pandangan dan menambah baik Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang telah disiapkan KPM untuk dihayati guru kemudian diajar kepada pelajar Islam di sekolah masing-masing.
“Pelaksanaan program ini sangat penting bagi memastikan penghayatan terhadap Hadis 40 Imam Nawawi dapat dilaksanakan dan diterjemahkan dengan lebih baik dalam kalangan murid.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama beberapa pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Perlis, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan JAIPs (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis) daurah ini akan diisi dengan pelbagai ceramah (oleh beberapa) ahli akdemik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program berkenaan, di sini, pada Selasa yang turut disertai Mufti Perlis, Prof Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Fadhlina berkata, peserta daurah terdiri daripada wakil sekolah yang akan berperanan sebagai jurulatih untuk membimbing ustaz dan ustazah di sekolah masing-masing selepas ini bagi memastikan penghayatan terhadap hadis berkenaan dapat direalisasikan.
Sementara itu, Mohd Asri pada sidang akhbar yang sama berkata penganjuran daurah itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendengar kepelbagaian pandangan dalam usaha membantu ke arah keberkesanan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button