NasionalRencana

Daulat tuanku: Genap dua tahun permasyhuran Al Sultan Abdulah sebagai Agong ke-16

HARI ini 31 Januari merupakan tarikh bersejarah bagi negara kita yang mempunyai Raja Berperlembagaan apabila seluruh rakyat menerima Yang di-Pertuan Agong baharu.

Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah dimasyhurkan sebagai Agong ke-16 menggantikan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan pada 6 Januari 2019.

Menyingkap senario transisi Ketua Negara ketika itu, ia bermula dengan berita perletakan Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 menggemparkan seluruh negara.

Ini kerana belum pernah lagi dalam sejarah, Ketua Negara meletakkan jawatan, sebaliknya yang lazim berlaku adalah tempoh perkhidmatan selama lima tahun tamat.

Rentetan itu, timbul persoalan dalam kalangan rakyat mengenai siapakah yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Persoalan sedemikian timbul kerana mengikut sistem penggiliran, Pahang adalah seterusnya, namun ketika itu Almarhum Sultan Ahmad Shah Sultan Al-Musta’in Billah gering.

Kemudian, rakyat menjangkakan nama yang disebut-sebut mereka adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, media-media kemudian melaporkan Sultan Ibrahim tidak mahu menjadi Agong dan menjelaskan baginda menghormati sistem giliran.

Ketika itu juga, Al Sultan Abdullah masih lagi menjadi Tengku Mahkota Pahang.

Walau bagaimanapun, satu khabar gembira diterima rakyat seluruh negara apabila, pada 15 Januari, Al Sultan Adullah ditabal sebagai Sultan Pahang Ke-6.

Pertabalan Al Sultan Abdullah menggantikan Almarhum Sultan Ahmad Shah tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab baginda dan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Mendengar perkhabaran itu, rakyat serta pakar sejarah berkaitan Raja-Raja Melayu dapat mengagak pertabalan Al Sultan Abdullah menandakan baginda akan menjadi Yang di-Pertuan Agong baharu.

Akhirnya, khabar itu benar apabila Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang memilih Al Sultan Abdullah menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Pada 31 Januari 2019 satu istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Negara dan seluruh rakyat menerusi kaca TV menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Antara dirasai dengan kehadiran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah kerajinan baginda berkongsi resepi masakan serta melayan celoteh rakyat dalam Twitter dan Instagramnya.

– Gambar BERNAMA

Maka hari ini genaplah, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dimasyhur sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. Dirgahayu tuanku, daulat tuanku.

Perjalanan sebagai Yang di-Pertuan Agong

Al Sultan Abdullah mungkin menjadi antara Yang di-Pertuan Agong menerima cabaran paling getir ketika berada dalam tampuk pemerintahan negara.

Ketika di awal permasyhuran, semuanya berjalan lancar sehinggalah pada 22 Mei, baginda kehilangan insan yang amat dikasihi iaitu Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat.

Baginda mangkat ketika menerima rawatan di Institu Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pagi Rabu iaitu pada 17 Ramadan 1440 Hijrah beberapa hari sebelum umat Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Peristiwa itu menyaksikan baginda sekeluarga dan seluruh rakyat Pahang berkabung di atas pemergian Almarhum Sultan Ahmad Shah.

YANG di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Bilah Shah, menghadiri istiadat pemakaman ayahanda baginda Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang mangkat pada 22 Mei 2020.

Selain itu, antara cabaran lain yang baginda hadapi adalah krisis politik dan krisis kesihatan iaitu wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

Krisis politik negara

Al Sultan Abdullah merupakan Yang di-Pertuan Agong ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) .

Sementara isterinya Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi Raja Permaisuri Agong kedua kerana ketika Sultan Muhammad V menjadi Agong, tiada Raja Permaisuri Agong di sisi baginda.

Selepas PRU-14, Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Terdapat pelbagai tekanan politik timbul sehinggalah pada 24 Februari 2020, seluruh negara digemparkan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

11 Julai 2020 – Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyambut hari kelahiran Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali

Keadaan politik ketika itu kucar-kacir apabila wujud perpecahan dalam parti kerajaan. Kemudian Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri sementara sehinggalah Perdana Menteri baharu dapat dipilih.

Baginda kemudian, memanggil ke semua Ahli Parlimen menghadap baginda di Istana Negara bagi mendapatkan kepastian kepada siapa sokongan diberikan untuk memilih Perdana Menteri.

Selepas dua siri pertemuan Ahli Parlimen PH (pihak kerajaan) dan BN (pihak pembangkang), akhirnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu, krisis politik tidak reda apabila beliau hanya mempunyai majoriti yang tipis.

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddn Yassin menerima watikah pelantika sebagai Perdana Menteri daripada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 1 Mac 2020 di Istana Negara.

Ancaman demi ancaman kehilangan sokonga diterima beliau sehinggalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat sidang akhbar tergempar memaklumkan mempunyai majoriti yang cukup bagi membentuk kerajaan baharu.

Kemudian, pada 12 Oktober, beliau bertandang ke Istana Negara menghadap Al Sultan Abdullah bagi mempersembahkan sokongan yang diterima kepada baginda.

Bagaimanapun, persembahan itu ditolak dan Anwar gagal menjadi Perdana Menteri.

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 12 Oktober 2020

Kemudian, satu lagi peristiwa politik berlaku apabila Muhyiddin menghadap Al Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang pada 23 Oktober 2020 bagi mempersembahkan cadangan pelaksanaan Perintah Daruat.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu yang bermesyuarat pada 25 Oktober 2020.

Kemudian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menggesa semua Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 dan menghentikan ‘politicking’.

Namun krisis politik tidak berakhir di situ apabila pada 11 Januari 2021, Muhyiddin sekali lagi menghadap baginda di Istana Negara.

Akhirnya, Al Sultan Abdullah memberi perkenan Proklamasi Darurat dikuatkuaskan sehingga 1 Ogos 2021 bagi menangani wabak pandemik Covid-19.

Krisis kesihatan pandemik Covid-19

Krisis membabitkan wabak dari Wuhan, China itu mula memasuki negara ini pada Januari 2020 iaitu ketika pentadbiran Kerajaan PH.

24 Januari 2020 menyaksikan lapan kontak rapat kepada kes pertama Covid-19 di Singapura berada di Johor Bahru dan dikuarantin.

Susulan itu, Al Sultan Abdullah pernah bertitah menyeru semua masjid di seluruh negara adakan solat hajat.

Kemudian, kes semakin lama semakin merebak di seluruh negara kemudian mencetuskan kluster terbesar melibatkan sekumpulan tabligh pada yang berhimpun dekat sebuah masjid di Petaling Jaya, Selangor.

Berikutan itu, pelbagai kluster dan kes baharu memaksa Muhyiddin yang kemudian menjadi Perdana Menteri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

covid

Pada 26 Mac 2020, satu kenyataan daripada Istana Negara memaklumkan Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tujuh kakitangan istana dilaporkan positif Covid-19.

Baginda berdua kemudian menamatkan proses kuarantin itu pada 9 April 2020 dan dilaporkan sihat dan tidak mengalami jangkitan.

Selepas itu, mulai Mei dan Jun 2020 keadaan beransur reda dan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Namun pada ketika itu, sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya menyaksikan warga kota beraya di rumah masing-masing kerana tidak dibenarkan merentas negeri.

Kemudian apabila PKPP dilaksanakan, rakyat dibenarkan merentas negeri dan melancong serta menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.

Pada tahun lepas juga, Al Sultan Abdullah menjadi Yang di-Pertuan Agong yang menyaksikan tiada penghantaran jemaah ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Kes Covid-19 kemudian beransur pulih sehinggalah di Sabah berlaku penularan yang melibatkan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pusat Tahan Sementara (PTS) di Sandakan, Sibuga dan Tawau.

Kemudian, wabak Covid-19 kembali meruncing lebih teruk berbanding awal penularan pada suku pertama 2020 apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilaksanakan.

Aktiviti berkempen politik dan rentas negeri melibatkan rakyat Semenanjung ke Sabah dan kembali semula menyebabkan penularan meingkat mendadak di seluruh negara.

Kes baharu harian Covid-19 terus mencatatkan peningkatan tinggi sehinggalah pada Oktober penularan mencatatakan empat angka.

Keadaan itu berterusan sehinggalah ke hari ini dan menyebabkan PKP dilaksanakan sekali lagi sejak 13 Januari dan dijadualkan berakhir pada 4 Februari.

Dalam masa sama disertakan sekali perintah darurat bagi megnelakkan tekanan politik ketika kerajaan sedang melakukan usaha membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, ketika pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan memaklumkan vaksin Covid-19 akan mula memasuki Malaysia bermula Mac ini.

Vaksin berkenaan dijangka mula diedar kepada rakyat di seluruh negara secara berperingkat pada akhir Mac.

Kemudian dijangkakan proses vaksinasi kepada rakyat dijangka selesai pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan.

ANTARA gelagat comel Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Demikian dua krisis negara yang sedang berlaku dan diikuti rapat oleh Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sepanjang baginda berdua berada di Istana Negara sejak 31 Januari 2019. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button