Nasional

Polis bina khemah atas bukit mudahkan pelajar dapatkan internet

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengambil inisiatif membersihkan kawasan dan membina khemah di atas bukit setinggi 100 meter di Kampung Paus di sini bagi membantu pelajar mendapatkan capaian Internet untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton berkata ketiadaan isyarat Internet yang baik di kampung itu menyukarkan pelajar mengikuti sesi PdPR, justeru pihaknya menyediakan khemah di atas bukit yang juga di dalam ladang kelapa sawit bagi memberi manfaat kepada lebih 30 pelajar di kampung itu.

“Semua peralatan khemah lengkap dengan meja dan kerusi adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota IPD Ranau selain menyumbangkan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan bakul makanan untuk pelajar di situ,” katanya kepada Bernama.

Sammy berkata Kampung Paus terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Ranau dan lebih 20 kilometer  dari jalan utama, sehubungan itu bagi memastikan keselamatan pelajar di khemah berkenaan rondaan pemantauan polis dari IPD Ranau juga dijalankan.

Bersesuaian dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Sammy berkata khemah berkenaan dibina pada Jumaat lepas hasil gotong-royong petugas di IPD Ranau bagi menyediakan keselesaan kepada pelajar dan secara tidak langsung memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar di kampung berkenaan.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin memuji usaha IPD Ranau yang turut membantu melancarkan proses PdPR meskipun kekangan capaian kemudahan Internet.

Beliau berkata bantuan itu sangat diperlukan oleh pelajar yang sanggup ke lokasi bagi memudahkan mereka mendapat talian Internet dan pesanan pembelajaran daripada guru sekolah.

“Dengan cara itu, pelajar dapat menerima dan menghantar semula latihan yang telah disemak oleh guru masing-masing melalui aplikasi WhatsApp yang paling popular digunakan pada masa kini,” katanya. – BERNAMA

(Visited 90 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button