Jenayah

Datuk, rakan serang, lempang pelanggan restoran didakwa hari ini

SEORANG lelaki bergelar Datuk yang menjadi tular kerana menyerang pelanggan di sebuah restoran akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya pukul 9 pagi ini.

Ahli perniagaan dan rakannya itu akan di dakwa sengaja menyebabkan kecederaan dan perbuatan khianat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata, kertas siasatan kes dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dengan beberapa cadangan pertuduhan daripada pihak polis.

“Pertuduhan dipersetujui untuk kesalahan jenayah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melakukan suatu mudarat awam.

“Mereka akan turut dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Lelaki bergelar ‘Datuk’ itu berang selepas seorang pelanggan di sebuah restoran memintanya supaya memperlahankan suara kerana bercakap kuat dan tidak membuat bising.

Dalam kejadian jam 9 malam di restoran TNT di Tropicana Avenue, Petaling Jaya pada 12 Januari, lelaki terbabit menyerang mangsa lelaki dengan tangannya dan menampar seorang pelanggan wanita lain sebelum meninggalkan restoran itu.

Berikutan itu, mangsa lelaki berusia 31 tahun, yang bekerja sebagai pengurus, membuat laporan polis.

“Datuk” yang direman dua hari bersama rakannya itu tampil pada 18 Januari membuat permohonan maaf.

Mengakui kesalahannya, Datuk berusia 42 tahun itu berkata dia dan mewakili rakannya ketika malam kejadian memohon maaf kepada dua mangsa – seorang lelaki dan perempuan.

“Bagi menjernihkan keadaan, saya mengaku saya dan rakan saya telah melakukan tindakan yang tidak wajar dan melampau.

“Ini kerana pada ketika itu saya dan rakan saya berada dalam keadaan yang tidak rasional lalu saya sangat marah kerana merasakan maruah saya sebagai orang yang lebih berusia tercalar ketika ditegur oleh pemuda tersebut,” katanya yang membaca kenyataan bahasa Melayu dalam satu rakaman video.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button