Belang Bertempat

Datuk Pahamin Rajab bekas KP JPJ, Pengerusi AirAsia yang ku kenali

NAMA Datuk Pahamin Rajab ialah satu nama yang besar sekitar tahun 1990-an kerana beliau pada ketika itu merupakan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Datuk Pahamin ketika dalam perkhidmatan beliau dengan JPJ disenangi oleh kalangan wartawan termasuk penulis kerana beliau seorang insan yang berjiwa besar tetapi berasmikan padi.

Datuk Pahamin amat mudah memberi kerjasama kepada wartawan termasuk penulis sendiri dan tidak cengil apabila berhadapan dengan para wartawan.

Beliau tidak pernah meninggi suara ataupun memandang rendah kepada wartawan dan profesion kewartawanan.

Apabila anak perempuan Datuk Pahamin, Chempaka atau lebih mesra dengan panggilan Chem dalam kalangan wartawan hiburan bertemu jodoh dengan aktor Azhar Sulaiman, beliau gembira dengan kebahagian Chem dan Azhar.

Dikurniakan dengan cucu termasuk cucu kembar, Datuk Pahamin sebelum perlahan-lahan hilang dari radar dan beliau merupakan Pengerusi dan Pengasas Bersama penubuhan penerbangan tambang murah, AirAsia Sdn. Bhd.

Hari ini, kembalinya ke rahmatullah Datuk Pahamin dalam usia 77 tahun.

Pemergian mengejut  Allahyarham Datuk Pahamin dimaklumkan oleh Azhar menerusi akaun Instagram (IG).

Menurut catatan Azhar, Datuk Pahamin mengalami serangan jantung dalam perjalanan menghadiri majlis graduasi cucunya di London.

“Dukacita saya maklumkan bapa mentua saya, Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia. Beliau baru sampai London, kena serangan jantung dalam pesawat. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees ada di London,” katanya.

Allahyarham Datuk Pahamin dilahirkan di Kampung Badak, Bachok, Kelantan. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Pasir Puteh, Allahyarham Datuk Pahamin merupakan graduan dari Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sejarah.

Tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya namun kejayaan yang dicipta oleh Allahyarham Datuk Pahamin menjadi kebanggaan rakyat negeri Kelantan.

Innalillahwainnalillahhirojiun. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Datuk Pahamin. Berita duka ini turut dirasai oleh semua yang mengenali allahyarham termasuk penulis.

Moga Allah S.W.T cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Datuk Pahamin. AlFatihah. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button