Politik
Trending

Darurat: Usul undi tak percaya tidak boleh diteruskan

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan terus kekal berkuasa sekiranya Perintah Darurat dilaksanakan.

Ini bermakna kemungkinan akan berlaku penggantungan Parlimen yang akan menyebabkan sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan pada suatu masa yang tidak dipastikan.

Oleh demikian, pelbagai usul penting seperti paling kontroversi, usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri tidak dapat dibaca dan dibahaskan.

Walau bagaimanapun, itu hanya satu cadangan berikutan kenyataan Istana Negara terdapat cadangan-cadangan lain yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Bergantung kepada konteks Darurat itu sendiri, kalau Parlimen digantung, bermakna tidak ada sidang Parlimen.

“Tetapi, masalahnya kalau kita tidak pasti apa yang dibentang sebab kenyataan media daripada pihak istana kata ada cadangan-cadangan, jadi tidak tentu apa yang sebenarnya dimaksudkan.

“Jadi, kata kalau untuk maksud isu usul undi tak percaya, sekiranya diisytihar supaya Parlimen sama ada ditangguhkan sama sepeti bulan Mac lalu dibawa sampai ke Julai, maka mungkin tidak ada sidang Parlimen pada waktu itu.

“Tetapi, masalahnya jika dilanjutkan selepas 31 Disember, maka akan timbul masalah dari segi perbelanjaan (negara) sekiranya tidak dibentangkan dan tidak diluluskan dalam Parlimen dalam tahun ini.”

Kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengulas jangkaan terhadap usul undi tidak percaya ketika dihubungi Suara Merdeka, hari ini.

Semalam, Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Dalam mesyuarat tersebut dilaporkan, semua Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan Perintah Darurat sebelum Muhyiddin bertolak ke Istana Abdul Aziz di Pekan, Pahang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun menjelaskan Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut mempersembahkan beberapa cadangan kepada Tuanku megnenai ancaman wabak Koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Lembah Pantai mengingatkan Muhyiddin supaya tidak menjadikan isu Covid-19 sebagai alasan untuk melaksanakan Perintah Darurat.

Katanya, rakyat menyedari niat pelaksanaan perintah tersebut adalah kerana beliau sudahpun kehilangan sokongan Ahli Parlimen untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

“Ada satu kontradiksi yang mana mungkin hanya boleh diatasi dengan pengisytiharan darurat, tetapi ini memberi kesan cukup negatif.

“Rata-rata, ramai yang risau, gelisah, tak setuju, bantah, protes kerana kalau pucuk pangkalnya isu Covid-19, undang-undang yang ada memadai.

“Isu politik jangan samakan dengan isu kesihatan awam. Jadi, dari apa yang saya baca, lihat, ramai yang tak setuju kalau ada pengisytiharan darurat.

“Perkara politik perlu diselesaikan secara politik, jangan guna langkah-langkah lain untuk menyelesaikan, itu tidak akan berkesan.

“Isytihar darurat untuk elakkan daripada Parlimen bersidang dan Belanjawan 2021 dibentang, jangan gunakan alasan itu (Covid-19).

“Jika, Covid-19 digunakan sebagai alasan isytihar darurat, maka kesannya adalah Parlimen ditangguhkan ataupun tak bersidang,” jelasnya.

Tambah Fahmi lagi, adalah satu kesalahan cukup besar apabila alasan tersebut digunakan kerana telah ramai yang terkorban dan berkorban akibat Covid-19.

Oleh demikian, tidak wajar alasan wabak pandemik digunakan semata-mata untuk memastikan penyelesaian isu politik yang sepatutnya diselesaikan secara politik.

“Maka ia menjadi satu dosa terhadap semua yang telah terkorban dan berkorban di barisan paling hadapan menentang Covid-19.

“Mereka dijadikan alasan untuk langkah politik demi kelangsungan kuasa. Ini akan menyebabkan lebih ramai yang makin marah.

“Isu politik selesaikan dengan cara politik, duduklah dekat meja, bincanglah, luluslah, sekiranya diminta kekal, kekal kalau diminta pergi, pergi.

“Jangan hadap sangat dan saya rasa yang kita lihat sekarang ini kalau darurat digunakan untuk kekalkan seseorang dalam tampuk kepimpinan, maka ia terlalu pentingkan diri sendiri,” luahnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button