Daripada pemain badminton negara beralih jadi penyanyi
PERNAH mewakili negara dalam sukan badmintion, Syahmi Irfan kini melupakan hasratnya untuk menjadi pemain utama apabila beralih arah dengan menjadi penyanyi.
Menurut penyanyi berusia 19 tahun itu, menjadi pemain badminton sebenarnya adalah sesuatu yang diinginkan oleh ibu bapanya.
“Sebenarnya sejak kecil lagi saya memang dah minat dalam dunia nyanyian tetapi keluarga memang suruh main badminton.
“Bukan saya seorang sahaja, abang dan adik saya juga memang bergiat aktif dalam sukan badminton dan pernah mewakili negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Syahmi, secara kebetulan bakatnya dalam bermain badminton sangat baik sehingga diserap masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan bermain mewakili negara.
Cuma menurutnya, dia ketika ini sudah keluar daripada pasukan negara disebabkan kecederaan di bahagian pinggang yang dialaminya ketika bermain badmintion.
Jelasnya, walaupun kini sudah bergelar penyanyi, dia tidak akan melupakan sukan badminton dan akan terus menyertai mana-mana kejohanan profesional.
“Buat masa sekarang saya hanya bergelar pemain profesional sahaja. Kalau ada mana-mana kejohanan, saya akan masuk untuk mewakili kelab,” katanya.
Ditanya berkenaan penerimaan keluarga dengan keputusannya untuk bergelar seorang penyanyi, Syahmi memberitahu yang dia bersyukur kerana respon yang diberikan sangat baik.
Jelasnya, dia bersyukur kerana keluarganya tidak pernah menghalang dan menyokong penuh keputusannya untuk masuk ke dalam dunia seni.
Syahmi kini muncul dengan single pertama berjudul Mungkir yang juga menjadi bunyi runut bagi drama Perempuan Tanpa Dosa yang diarahkan Micheal Ang.
Dalam pada itu, penampilan Syahmi dalam program Lagu Cinta Kita yang disiarkan semalam juga mendapat reaksi yang positif daripada juri.
Program tersebut dijurikan oleh Mas Idayu, Hazama dan Siti Sarah.-SM