Nasional

Dari wad, menteri arah beri sumbangan pada pondok tahfiz terbakar

JANGKITAN Covid-19 tidak sama sekali menghadkan seorang termasuk menteri untuk terus menunaikan amanah dan tanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang masih berada di hospital bagi menjalani rawatan pemulihan dari jangkitan Covid-19 telah meminta agar sumbangan diberikan kepada sebuah sekolah pondok di Kulim, Kedah yang musnah terbakar.

Beliau menyedari kejadian itu selepas membaca insiden tersebut dalam portal berita dan meminta Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memberikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Pondok Tuan Guru Haji Adnan

“Semalam ketika melayari beberapa akhbar dalam talian, saya terbaca tentang laporan kebakaran di Pondok Tuan Guru Haji Adnan, Kulim, Kedah.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan sumbangan telah pun disalurkan pada hari ini.Semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban warga pondok atas tragedi yang menimpa,” kata Zulkifli di Facebooknya.

Menurut menteri yang menjaga hal ehwal agama itu, kebajikan sekolah pondok sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memperkasa pendidikan dan pemahaman Ahli Sunnah wal Jama’ah di Malaysia.

Zulkifli dimasukkan ke hospital tiga hari lalu bagi menjalani rawatan Covid-19 selepas disahkan mendapat jangkitan virus tersebut.

Asrama Pondok Pengajian Ustaz Haji Adnan, Kampung Paya Kelubi, Sungai Karangan, Padang Serai musnah dalam kebakaran dua hari lepas.

Dalam kejadian pukul 7.48 malam itu 90 peratus daripada sekolah berkenaan hangus terbakar. Ketika kejadian tiada mangsa dilaporkan berada di situ. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-SM

(Visited 387 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button