Berita

Dari filem ke stadium

KUALA LUMPUR: Personaliti terkenal, Datuk Hans Isaac diumumkan sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi sesi 2023/2025.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan yang diedarkan malam tadi berkata, Hans Isaac atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac, merupakan antara 16 individu dari sektor korporat, persatuan sukan dan sektor kerajaan yang dilantik sebagai Anggota Perbadanan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata pelantikan keanggotaan baharu itu dilakukan bagi memastikan hala tuju PSM dalam pengurusan fasiliti yang berdaya mampan, mengamalkan tadbir urus korporat yang baik serta menyediakan perkhidmatan efisien dan profesional kepada semua pihak.

“Perkara itu turut melibatkan usaha bagi merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosikan gaya hidup sihat,” kata beliau.

Dalam kerjaya sebagai anak seni, Hans Isaac banyak membintangi filem dan drama tempatan hampir 30 tahun lalu dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Pada 2017, Hans Isaac yang kini berusia 51 tahun mengumumkan keputusan mengundurkan diri sebagai anak seni kerana mahu memberi tumpuan pada bidang lain.

Sementara dalam gelanggang politik pula, Hans Isaac pada Julai 2022 memenangi jawatan Ketua PKR Ampang selain dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Selain Hans Isaac, KBS juga mengumumkan pelantikan beberapa personaliti lain dari sektor korporat sebagai Anggota Perbadanan PSM bagi sesi 2023/2025.

Mereka terdiri daripada Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John dan Pengurus Besar Kanan Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Tidak ketinggalan personaliti televisyen serta ahli korporat dan penganjur acara antarabangsa, Zahir Kelvin Ong Abdullah dan pengasas bersama ScaleUp Malaysia dan Remote Ventures, Aaron Sarma.

Sementara itu, KBS turut mengumumkan lima personaliti dari persatuan sukan dan enam wakil dari sektor kerajaan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi sebagai Anggota Perbadanan PSM.

“Anggota Perbadanan PSM terdiri daripada lima ahli wanita yang merangkumi 31.25 peratus keahlian dan Anggota Perbadanan aklan bersama Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi dan pengurusan kanan PSM bagi mencipta semula pendekatan terhadap industri pengurusan fasiliti untuk semua,” kata kenyataan itu lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button