UBAT yang digunakan untuk merawat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang positif Covid-19 baru-baru ini dibangunkan daripada darah seorang pesakit di Singapura yang pulih dari jangkitan wabak itu.
Menurut laporan berita dari republik itu, Trump dan isterinya Melania diuji positif virus pada 2 Oktober.
Trump dibenarkan keluar hospital pada Isnin dan Presiden AS itu mengaitkan pemulihannya dengan ubat eksperimen yang dirumuskan oleh syarikat bioteknologi AS, Regeneron.
Laman berita Singapura Todayonline.com mengatakan Pusat Kebangsaan Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) republik itu, telah memberikan sampel darah pesakit yang telah pulih dari Covid-19 kepada Regeneron.
Perunding kanan dan pengarah kanan NCID, Prof. Madya David Lye berkata, pusat itu diminta untuk menyediakan sehingga 20 pesakit yang telah pulih dari virus itu untuk menyumbang sampel darah mereka.
“Mereka akhirnya menggunakan tiga dari lima sampel pesakit kami, sebagai titik awal untuk penyelidikan menggunakan teknologi mereka bagi mengembangkan antibodi monoklonal mereka,” kata Lye.
Sampel digunakan sebagai sebahagian daripada percubaan pra-klinikal untuk mengembangkan ubat, yang melibatkan kombinasi dua antibodi, satu dari tikus yang diubahsuai secara genetik dan yang lain dari pesakit yang pulih, untuk membentuk “ubat koktail”.
Lye mengatakan NCID juga bekerjasama dalam ujian klinikal AS terhadap remdesivir, satu lagi ubat Covid-19 yang digunakan untuk merawat Trump.