BeritaPolitik

Mimpi Pas tetap menakutkan DAP

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang berkata, hasrat Pas untuk membawa usul undi percaya ke atas kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad hanyalah satu ‘kisah dongeng’ parti tersebut.

Katanya, rakyat tidak ‘bodoh’ untuk mempercayai bahawa langkah itu bagi menyelamatkan negara.

Mungkin bagi DAP, ‘kekuatan’ politik dimiliki ketika ini memberi mereka ‘suara’ bagi menentukan setiap keputusan yang dibuat.

Dalam hal ini, DAP tidak perlu menzahirkan kebimbangan mereka jika benar beranggapan apa yang dilakukan Pas tersebut adalah kisah dongeng atau sekadar mimpi di siang hari.

Malangnya, apa yang terlihat adalah sebaliknya.

Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP lain sering kali gagal menahan diri daripada membuat kritikan demi kritikan tentang perkara tersebut.

Mereka cuba ‘membetulkan’ kembali tanggapan rakyat terutama orang Melayu bahawa tiada ‘muafakat nasional’ seperti digembar-gemburkan.

Malangnya usaha itu ternyata gagal.

Malah, orang Melayu kini semakin tidak sabar untuk menantikan perubahan yang bakal berlaku.

Mengapa? Kerana tindakan kerajaan terutamanya pemimpin-pemimpin DAP, gagal memberi keyakinan kepada orang Melayu bahawa nasib mereka dibela berdasarkan hak yang sewajarnya.

Orang Melayu semakin tertekan dengan situasi semasa. Sebagai golongan majoriti, apa yang berlaku disifatkan sebagai satu ketidakadilan.

Puncanya dikaitkan dengan sikap para pemimpin DAP sendiri. Peluang yang diberikan rakyat untuk menjadi antara peneraju negara ini gagal dilaksanakan dengan baik. Hakikatnya, persepsi negatif terhadap DAP semakin menebal.

Keadaan ini jelas apabila sering kali berlaku tindakan yang diambil, tidak mencerminkan kepentingan sebagai sebuah ‘keluarga besar’.

Keputusan dibuat dilihat hanya memberi keuntungan atau menyebelahi satu pihak sahaja.

Dalam hubungan ini, kata-kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mana-mana parti atau ahli Parlimen yang menolak usul undi percaya kepada Dr. Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac ini sebagai penakut nampaknya benar-benar mengusarkan DAP.

Pas kata Abdul Hadi, akan tetap membawa usul itu bagi memastikan Dr. Mahathir memegang jawatannya sehingga habis penggal PRU-14.

“Walaupun kita tahu ada orang yang penakut dengan usul ini tetapi kita tetap bawa. (Begitu juga) kalau ada yang tak bersetuju, kita tahu siapa yang tak bersetuju.

“Kita tak takut, tapi ada orang yang takut, (nak) takut apa… pada Pas, orang tidak sokong pun tak apa, kita (dah) biasa dengan kekalahan.

“Yang penting, kita mahu selamatkan negara, bukan sahaja orang Melayu, Islam, termasuk kaum lain. Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada Dr. Mahathir, sudah ada pengalaman memerintah paling lama,” katanya.

Seperti kata Kit Siang, rakyat memang tidak bodoh. Malah semakin hari, mereka semakin menyedari apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Biarlah Pas terus dengan ‘mimpi-mimpi’nya.  Kerana tiada apa yang dapat dilakukan oleh orang yang sedang tidur – itu pun jika ada dalam kalangan rakyat masih mempercayai Kit Siang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button