DAP beringatlah ‘anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya’
RASA meluat pun ada dalam diri Belang bila membaca ciapan Hannah Yeoh di Twitternya hari ini terhadap foto pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bersama ketua-ketua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Perkataan `tak memberi inspirasi langsung’ dan `tetapi gambar ini membantu saya untuk terus berlumba’ yang diungkapkan oleh Naib Ketua Wanita DAP itu Belang andaikan tentu sekali berkait dengan isu `kerajaan pintu belakang’ yang sering dimainkan oleh pembangkang terutama DAP.
Hannah, pemimpin DAP yang lain serta dari PKR atau Amanah boleh bercakap apa sahaja pasal isu ‘kerajaan pintu belakang’. Tapi satu hal yang Belang perhatikan, bila kena batang hidung sendiri, boleh pula mahu melatah. Dan bab kena pada orang lain, boleh buat tak tahu atau `bodoh’ sahaja.
Kalau diikutkan, parti yang harus membangkitkan isu `kerajaan pintu belakang’ ini ialah tak lain, tak bukan adalah UMNO. UMNOlah yang menjadi `mangsa’nya, bukannya Pakatan Harapan.
Kerajaan sekarang yang dikenali Perikatan Nasional diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdiri daripada perwakilan UMNO, Pas, MCA dan MIC serta sebahagian Bersatu, bukanlah daripada parti-parti yang menang. Tetapi calon-calon mereka menang melebihi 50 kerusi dalam PRU lepas.
Apa yang dibentuk oleh Muhyiddin ialah Kerajaan Campuran (Coalition Government).
Bahkan, semasa pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BERSATU pun terdapat 14 wakil rakyat UMNO yang lompat pagar UMNO. Bukankah itu pun dikatakan “gerbang belakang atau pintu belakang”?
Lihatlah bagaimana peritnya UMNO setelah Barisan Nasional (BN) yang diketuainya semasa PRU-14 memenangi 79 kerusi Parlimen, tiba-tiba hanya berbaki 41 kerusi selepas beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti dan menyertai parti lain.
Sehari selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden UMNO pada Jun 2018, Ahli Parlimen Masjid Tanah keluar UMNO. Ia diikuti wakil Jeli, Kimanis dan Labuan.
Disember 2018 menyaksikan 11 anggota parlimen – lima dari Sabah – keluar UMNO kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu.
Pada Februari 2019, BERSATU menerima ahli-ahli parlimen Larut, Tasek Gelugor, Tanah Merah, Mersing dan Sabak Bernam serta Hulu Terengganu sebagai ahli parti.
Pada Mac 2019, wakil rakyat UMNO dari Beaufort, Beluran, Kudat dan Libaran juga menyertai Bersatu.
Wakil Sipitang menyertai Bersatu pada September 2019.
Pada Jun 2018, empat parti komponen BN di Sarawak- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United Peoples’ Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) and the Progressive Democratic Party (PDP)- menarik diri daripada BN setelah bersama sejak 1974.
Di Sabah juga menyaksikan parti-parti komponen BN – Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) – meninggalkan gabungan itu.
PBS dan PBRS berganding bahu dengan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) bagi menubuhkan gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Secara keseluruhannya, GBS ada tiga anggota parlimen. Upko yang mempunyai satu kerusi parlimen, bekerjasama dengan Warisan.
Sementara BN lumpuh di Sarawak, di Sabah pula UMNO masih mempunyai seorang anggota parlimen dari Kinabatangan.
Begitulah azab yang ditanggung UMNO. Dan bayangkan kalaulah PH masih `hidup’ sekarang. Bersama sekutunya Warisan and Upko, gabungan itu mempunyai 139 jumlah kerusi di Dewan Rakyat.
Mereka hanya kekurangan lagi sembilan kerusi untuk mencapai majoriti dua pertiga, iaitu jumlah majoriti yang diperlukan untuk meluluskan pindaan terhadap perlembagaan.
Adakah Mat Sabu masih menganggap kerajaan Perikatan Nasional sekarang ‘kerajaan pintu belakang’?
BN dan PAS kini mempunyai 59 kerusi. Di belakang mereka ialah GPS sebagai gabungan pembangkang yang kedua terbesar dengan 18 kerusi, diikuti oleh GBS yang mempunyai 3 kerusi.
Kemasukan Pas ke dalam gelanggang Kerajaan Campuran menegakkan kuasa politik Melayu-Bumiputera. Itu hak mereka. Masuk keluar parti sudah diiktiraf oleh mahkamah negara ini dan juga Komanwel sebagai hak masing-masing individu.
Justeru, di mana benarnya cakap-cakap kerajaan hari ini atau dikenali kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan pintu belakang?
Apatah lagi, Muhyiddin selaku Perdana Menteri telah memenuhi syarat perlembagaan (Perkara 40 dan 43), berserta restu rasmi Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menyaksikan kedudukan kerajaan pimpinannya sah dari segi undang-undang negara.
Peruntukan dalam Perkara 40(2) ini secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara pada melaksanakan fungsi yang tertentu, termasuk melantik seorang Perdana Menteri.
Budi bicara baginda adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana tribunal atau mahkamah.
Bahkan, baru-baru ini Sultan Selangor secara peribadi mengatakan tidak tepat untuk melabel kerajaan persekutuan semasa di bawah gabungan Perikatan Nasional sebagai kerajaan “pintu belakang”.
Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ucapannya pada majlis perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Selangor sesi ke-14 bertitah, baginda telah mengikuti peralihan kuasa yang disifatkannyatelah dilakukan dengan teliti oleh Yang di-Pertuan Agong dan selepas perundingan terperinci dan terbuka sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tuduhan mengenai pembentukan kerajaan persekutuan ini sebagai kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa tidak tepat sama sekali dan ia harus segera dihentikan kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk menggunakan budi bicaranya seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang, ” titah sultan.
Waima apa pun, kerajaan Perikatan Nasional hari ini sah dan mendapat mandat rakyat seperti mana tegas Dr. Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 8 Disember 2018: “Mana-mana individu berhak untuk melompat parti sekiranya mereka mahu berbuat demikian.
“Kita adalah sebuah kerajaan yang demokratik. Kita percaya pada demokrasi dan demokrasi membenarkan ‘katak’ melompat.”
Hannah tak perlu anda canang-canangkan lagi isu “kerajaan pintu belakang”. Meludah ke langit terkena batang hidung sendiri.
Jangan pandang sebelah mata Perikatan Nasional. Gabungan itu lahir dari kegagalan kerajaan PH yang lepas – yang kelihatan tidak berpihak kepada kaum majoriti.-SM