Dakwaan sogokan kepada Ahli Parlimen, SPRM minta MP Sekijang tampil beri maklumat
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta supaya Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail supaya tampil menyalurkan maklumat berhubung dakwaan terdapat individu menyogok Ahli Parlimen seperti yang tular baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataannya berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan tindakan itu juga diminta tampil membuat laporan.
“Sesiapa yang maklumat perlu segera tampil membuat aduan kepada SPRM sekitanya perkara itu benar-benar dianggap sebagai perlakuan rasuah.
“Aduan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan melaporan transaksi penyogokan,” katanya.
Menurut SPRM, mereka sentiasa bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan yang Natrah telah mendakwa dirinya dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menawarkan ganjaran sekiranya beliau memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam laporan tersebut, Natrah turut mendakwa yang dua individu itu menyatakan keinginan utnuk membantunya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen selepas melakukan kerja dengan baik di Sekijang.
Natrah dalam laporan itu juga berkata yang individu terbabit turut bertanya sama ada dia berminat untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin serta manfaat yang boleh diperoleh dengan pemberian sokongan tersebut. – SM