Dakwaan pengundi hantu dalam pemilihan DAP Perak tidak berasas
DAKWAAN konon wujudnya pengundi hantu memilih ahli DAP ke Jawatankuasa Negeri sewaktu Konvesyen DAP Perak ke-19 semalam adalah tidak berasas.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Lok menegaskan, semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
Justeru beliau amat kesal terhadap kekecohan yang berlaku dalam konvensyen tersebut yang berpunca daripada dakwaat terdapatnya pengundi hantu.
“Sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan segala proses pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan, Konvensyen Biasa Negeri dan Kongres Kebangsaan parti dijalankan dengan penuh integriti.
“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka,” katanya.
Menurutnya, senarai perwakilan untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah disahkan oleh Bahagian Organisasi, Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.
Setiap wakil yang layak untuk hadir ke Konvensyen Biasa Negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh Pengurus Pilihanraya.
Pengurus Pilihanraya untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah dilantik oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan secara lazimnya beliau adalah pemimpin dari negeri lain yang tidak ada kepentingan dalam proses pemilihan di negeri tersebut.
Tambah beliau, sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan.
Semua jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik untuk Konvensyen Biasa Negeri juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan.
Semalam media melaporkan kekecohan berlaku sewaktu Konvesyen DAP Perak ke-19 hari ini, apabila didakwa wujudnya pengundi hantu yang akan memilih ahli ke Jawatankuasa Negeri dan isu tempoh pengundian yang tiba-tiba dilanjutkan.
Kekecohan itu berlaku sebaik sahaja Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan Konvensyen DAP Perak ke-19, yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP seluruh negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.
Kekecohan itu disebabkan proses pendaftaran pemilih yang sepatutnya tamat pada 10 pagi, tetapi tiba-tiba disambung sehingga 12 tengah hari.
Perwakilan mendakwa perkara itu tidak sepatutnya berlaku, dan ruang harus diberikan kepada semua pemilih sekali gus pemilihan boleh dijalankan secara adil dan bukannya memberi kelebihan kepada mana-mana pihak.-SM