Dakwaan penglibatan pegawai polis dengan suspek pengubahan wang haram disiasat
POLIS sedang menyiasat dakwaan berkaitan penglibatan dua pegawai polis yang terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menyiasat perkara itu.
“Sementara menunggu laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya telah arahkan JIPS untuk membuat siasatan.
“Jabatan Siasatan Jenayah juga diminta untuk bantu siasatan dakwaan tersebut,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Hamid, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus dan tidak akan bertolak ansur dengan unsur-unsur penyelewengan dan rasuah di kalangan anggota dan pegawainya.
Sebelum ini, tular sebuah video yang menyaksikan pasangan suami isteri bergelar Datuk yang ditahan SPRM melibatkan kes pengubahan wang haram dan Macau Scam.
Di dalam video sambutan hari jadi itu, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa ada dua orang pegawai polis turut hadir. -SM