Politik

Dakwa Khairuddin, bagi hentikan propaganda Kit Siang- Najib

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan agar segera mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di mahkamah.

Najib berkata, beliau menyarakan tindakan tersebut bukan kerana mahu mengecam Pas tetapi disebabkan ramai tidak berpuas hati terhadap kompoun yang dikenakan terhadap Khairuddin yang telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin.

Tindakan tersebut juga perlu bagi menghentikan propaganda yang dilakukan oleh Pakatan Harapan terutama Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya sebab saya difahamkan KKM atau imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia.

“Jika kalah, masih boleh rayu. Hentikan modal propaganda PH sebab saya dah bosan tengok Kit Siang buat puluhan posting bagi isu yang sama,” kata Najib.

Kit Siang sebelum ini menulis lebih 10 artikel berkaitan Khairuddin yang tidak dikenakan hukuman setimpal kerana melanggar SOP.

Khairuddin sebelum ini telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin.

Mohd Khairuddin didakwa tidak menjalani kuarantin 14 hari sekembalinya dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di negara itu selama beberapa hari.

Najib juga meminta Kit Siang supaya mengecam Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mohon maaf sebab langgar kuarantin.

Dua hari lalu Amirudin mengakui terpaksa keluar dari tempoh kuarantin kerana mahu menyelesaikan isu pencemaran air Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas.

“Saya ketika ini menjalani tempoh kuarantin, walaupun ujian saringan ke atas saya menunjukkan keputusan negatif.

“Tetapi, disebabkan berlaku masalah pencemaran air di Sungai Semenyih, yang memberi kesan kepada rakyat Selangor, saya terpaksa keluar dari kuarantin malam ini,” katanya menerusi ciapan Twitternya.

Beliau kemudian bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau muka sauk Sungai Semenyih yang dicemari akibat aktiviti pembersihan reban itik dan angsa besar-besaran di Sungai Pajam.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button