Jenayah

Dadah ecstasy disyaki punca kematian empat mangsa di konsert Pinkfish

POLIS mengesahkan empat individu meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada malam ambang tahun baharu, disyaki akibat pengambilan dadah jenis ecstasy.

Selain empat mangsa yang maut, tiga lagi dilaporkan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kesemua tujuh mangsa hadir ke konsert itu secara berasingan dan tidak mengenali antara satu sama lain.

“Semua mangsa hadir bersama rakan-rakan atau ahli keluarga masing-masing. Empat mangsa disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan seorang telah dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa polis menerima enam laporan berhubung kejadian itu daripada PPUM dan HKL.

“Kedua-dua hospital menerima tujuh pesakit yang menunjukkan simptom serupa. Kami telah membuka empat kertas siasatan kematian mengejut untuk menyiasat sebarang unsur jenayah atau keracunan.

“Sehingga kini, enam saksi telah dirakam percakapan, dan pihak penganjur konsert serta rakan-rakan mangsa turut akan dipanggil bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Menurut Hussein, polis kini menunggu laporan toksikologi untuk mengesahkan pengambilan dadah serta punca kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 atau tampil di balai polis berhampiran.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button