Mahkamah

Curiga kesan lubang di kepala Allahyarham Nazrin – Kakak sulung

KAKAK sulung kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi, semalam, bahawa beliau dan dua lagi adiknya memohon bedah siasat kedua dijalankan selepas curiga dengan kesan lubang sebesar satu inci di kepala adik bongsunya itu.

Saksi pendakwaan ke-21 perbicaraan kes pembunuhan Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 63, berkata beliau dan adik-beradiknya juga curiga dengan hasil bedah siasat pertama yang menyatakan kematian Nazrin berpunca daripada komplikasi akibat letupan.

“Pada hari kejadian, saya ke bilik mayat di Hospital Kuala Lumpur untuk melihat jenazah adik saya (Nazrin), dan saya ternampak satu kesan lubang berdiameter satu inci pada bahagian kiri kepalanya. Ini menimbulkan kecurigaan kepada saya dan adik-adik yang lain.

“Kesan lubang berkenaan sangat elok bulatnya dan ia mustahil disebabkan oleh kecederaan letupan seperti yang ditulis dalam hasil bedah siasat,” kata kakak sulung mangsa itu ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Che Elainee berkata, beliau juga hadir ketika proses penggalian semula kubur Nazrin pada Oktober 2018 susulan semakan semula kes kebakaran yang menyebabkan kematian adiknya itu ditukar kepada kes bunuh.

Sementara itu pada prosiding sama, mahkamah menetapkan 13 dan 14 Julai depan untuk pihak pembelaan membawa seorang pakar kebakaran dari Australia bagi membantu menyoal balas saksi pendakwaan ke-20, Edwin Galan Teruki.

Galan yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), adalah saksi pakar yang dibawa pihak pendakwaan dalam prosiding pada 15 Mei lalu.

Ab Karim berkata, mahkamah tidak akan menangguhkan lagi prosiding perbicaraan berkenaan jika pakar kebakaran dari luar negara itu, John Charles Plimsoll Horswell, tidak hadir pada tarikh terbabit.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button