Cubaan seludup diesel bernilai RM23,895 gagal
CUBAAN seorang lelaki menyeludup 13,500 liter minyak diesel gagal selepas ditahan dalam Op Landai di Batu 60, Jalan Bintulu-Miri Lama, Sarawak semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lelaki itu ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi melibatkan seorang pegawai dan tiga anggota Uniti Risikan Marin.
“Rampasan dianggarkan berjumlah RM23,895 dan kita menahan pemandu lori tangki muatan minyak diesel berusia 50an bagi membantu siasatan.
“Rampasan itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa permit atau tanpa lesen atau tanpa kebenaran khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
> BACA Bekas CEO yayasan ditahan SPRM
Menurut Shamsol, pemeriksaan mendapati pemilik atau penjaga gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran dari pihak KPDNHEP.
Tambahnya, kes itu dirujuk serta diserahkan kepada KPDNHEP Bahagian Bintulu untuk tindakan lanjut. -SM