Politik

Cuba minta ahli sokong parti, tapi tak sokong Presiden UMNO – Zahidi

Cadangan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya UMNO menyokong Kerajaan Perikatan Nasional tetapi tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai perdana menteri adalah tidak praktikal.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Zahidi Zainul Abidin menyindir cadangan tersebut dengan meminta perkara itu dipraktikkan dalam UMNO dengan meminta ahli menyokong parti tetapi tidak menyokong presiden UMNO.

“Cadangan Presiden UMNO supaya menyokong PN, tetapi tidak menyokong PM adalah tidak praktikal. Cadangan Presiden UMNO supaya menyokong Bersatu, tetapi tidak menyokong Presiden Bersatu adalah tidak praktikal.

“Cadangan Presiden UMNO supaya menyokong PAS, tetapi tidak menyokong Presiden PAS adalah tidak praktikal. Mungkin kita patut cuba untuk praktikkan dalam UMNO dahulu, kita sokong UMNO tetapi tidak sokong Presiden UMNO,” kata Zahidi.

Zahidi berkata, UMNO tidak akan menebuk bahtera yang dinaiki untuk ditenggelamkan dalam keadaan ombak, ribut dan badai sedang melanda.

Beliau meminta supaya ahli UMNO untuk menyokong tindakan yang dibuat di bawah kepimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya ingin menyeru kepada semua ahli UMNO supaya menyokong tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh ahli Parlimen di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sesungguhnya, parti UMNO tidak akan mengkhianati kerjasama strategik yang telah diatur bersama-sama parti PAS dan Bersatu yang telah memberi kepercayaan untuk melantik ahli UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri,” tegas Zahidi.

Sementara itu Zahidi yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia meminta agar fitnah yang disebarkan di media sosial dihentikan dengan segera.

Rakyat diminta untuk tidak menyebarkan maklumat-maklumat tidak sahih serta menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja kerana tindakan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) meminta agar fitnah-fitnah yang ditularkan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp segera dihentikan.

“Misalnya, kandungan atau bahan infografik atau mesej-mesej tidak sahih terutamanya yang melibatkan pihak istana dengan niat untuk melaga-lagakan perdana menteri dengan pihak istana di media sosial,” kata beliau.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button