Covid: Bekas Menteri Kesihatan pertikai kekangan di Dewan Rakyat
BEKAS Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad mempertikaikan kekangan ke atas Menteri dan ahli Parlimen untuk menyertai Perbahasan Belanjawan 2021 Di Peringkat Dasar yang bermula hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, peraturan kekangan masa yang dihadkan kepada menteri selama hanya 20 minit dalam perbahasan itu serta jumlah ahli parlimen seramai 80 orang sahaja dalam Dewan Rakyat tidak berdasarkan dapatan dan bukti saintifik.
“Saya mempertikaikan kenapa kita dikekang, seorang menteri hanya diberikan 20 minit. Kerana ia tidak berpandukan sains dan dapatan perubatan.
“Sementara saya menghormati pandangan Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan, saya tahu di luar sana ada banyak lagi pakar-pakar sama ada penyakit berjangkit dan sebagainya, saya tidak mahu mempertikaikan semua itu dan mempertikaikan kepakaran siapa-siapa.
“Cuma perbincangan dan keputusan kita mestilah berdasarkan bukti dan sains yang terkini,” kata Dr. Dzulkefly.
Menteri-menteri akan menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen dalam Perbahasan Belanjawan 2021 di Peringkat Dasar yang sepatutnya bermula pukul 11.00 pagi hari ini.
Bagaimanapun perbahasan tertangguh lebih kurang 30 minit selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri hanya diberikan masa selama 20 minit untuk menjawab.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan langkah mempersoalkan peraturan tersebut. Katanya, kelongaran had masa perlu diberikan kerana ahli Parlimen yang bertanyakan soalan turut hadir untuk mendengar jawapan daripada menteri.
“Jadi tidak terhad kepada 80 orang membolehkan mereka mendengar hujah menteri yang disampaikan,” kata Anwar.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hasan berkata, Parlimen berhadapan dengan kekangan Covid-19 bagi memanjangkan masa perbahasan di Dewan Rakyat.
“Ini bukan alasan, saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Lebih lama masa Perlimen lebih berisiko kata Ketua Pengarah Kesihatan. Itu kekangan pada kita.
“Kami apabila diberitahu kepada menteri mereka hanya ada 20 minit sahaja, semua mengeluh tak dapat sampaikan segala yang mahu dijawab. Tapi itulah peraturan.
“Kita beri jaminan sebaik sahaja menteri habis menjawab dengan membentangkan ringkasan eksekutif segala teks yang tidak habis akan dimuat naik ke portal Parlimen,” kata Takiyuddin.-SM