Sukan

Hafizh masih pelumba terbaik Malaysia

Tiada mata buat Hafizh pada perlumbaan penutup musim di Portugal

GRAND Prix Portugal menjadi perlumbaan penutup tirai bagi musim 2020 dengan Hafizh Syahrin Abdullah masih kekal selaku pelumba terbaik negara dalam kejuaraan motosikal dunia, meskipun tiada pencapaian yang membanggakan menerusi anak muda tersebut.

Pelumba Pull&Bear Aspar Team itu mengakhiri aksinya musim ini di tangga ke-21 daripada 35 pelumba setelah mengumpul 21 mata keseluruhan.

Sasaran Hafizh untuk menghadiahkan keputusan yang lebih baik sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada pasukannya itu, tidak kesampaian apabila dia sekadar melengkapkan saingan di tempat ke-21 menerusi catatan masa 40 minit 26.639 saat (s) dalam perlumbaan di Portimao, semalam.

Gelaran dunia bagi kelas perlumbaan Moto2 menjadi milik pelumba Itali, Enea Bastianini setelah mengumpul 205 mata, manakala rakan senegaranya, Luca Marini di tempat kedua berkongsi 196 mata dengan Sam Lowes dari Great Britain yang menghuni kedudukan ketiga.

Bagi dua lagi pelumba Malaysia yang turut beraksi dalam kejuaraan motosikal dunia iaitu Kasma Daniel Kasmayudin dan Khairul Idham Pawi, kedua-duanya gagal mengutip sebarang mata dalam kelas perlumbaan masing-masing iaitu Moto2 serta Moto3.

Dalam perlumbaan terakhir bersama Aspar Team, Hafizh mengakui, saingan tersebut menjadi satu perlumbaan yang penuh emosi buatnya memandangkan dia akan berlumba bersama pasukan baharu, musim depan.

“Hari ini (semalam) merupakan hari yang penuh emosi, saya telah bekerjasama dengan ramai mekanik sejak beberapa tahun lalu dan kini kami berpisah.

“Dalam perlumbaan hari ini, kami berjaya meningkatkan prestasi dan kelajuan jentera, tetapi ia agak terlewat kerana kami terpaksa bermula dari petak belakang,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi laman web pasukan.

Pelumba berusia 26 tahun itu berikrar dia akan kembali mempamerkan persembahan lebih mantap untuk musim 2021 nanti bersama pasukan NTS RW Racing GP.

Selain itu, Hafizh turut mengucapkan tahniah kepada pelumba Aspar Team, Albert Arenas setelah dia dinobatkan selaku juara dunia bagi kelas Moto3.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Albert Arenas dan pasukan kerana memenangi gelaran dunia,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai aksinya musim ini, Hafizh memberitahu, pada awal musim, dia telah memulakan aksinya dengan baik sehinggalah malang menimpa di Austria setelah terbabit dalam kemalangan yang memaksanya berehat selama beberapa minggu.

“Selepas kemalangan di Austria, saya seperti hilang punca dan perlumbaan pada penghujung musim semakin sukar.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas segala-galanya dan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya.

Dalam perlumbaan terakhir pada GP Portugal itu, pelumba Australia, Remy Gardner yang merupakan rakan sepasukan Kasma Daniel dalam Onexox TKKR SAG Team menjuarai saingan menerusi catatan masa terpantas 39:35.476s.

Tempat kedua menjadi milik Marini (39:37.085s) dan kedudukan ketiga dimenangi oleh Lowes (39:39.289s). – SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button